LIONEL Messi mengesahkan dia akan membuat penampilan yang kelima dan terakhir saingan Piala Dunia tahun ini serta berharap untuk memimpin Argentina bergelar juara buat kali pertama sejak 1986.

Ketika saingan akan berlangsung 44 hari lagi, bintang Argentina, Lionel Messi mendedahkan Piala Dunia di Qatar akan menjadi yang terakhirnya.

Messi, akan bermain Piala Dunia yang kelima dan masih dalam usaha meraih gelaran pertamanya. Ia merupakan kali pertama dia menyatakan perancangan masa depannya selepas kejohanan, di mana ia akan bermula 21 November ini.

“Saya tidak tahu sama ada kami adalah pilihan utama, tetapi saya percaya Argentina adalah calon kerana sejarahnya, serta dengan cara kami layak beraksi kali ini,” kata Messi.

“Tetapi dalam Piala Dunia apa sahaja boleh berlaku, semua perlawanan sangat sukar. Bukan selalu pasukan pilihan yang memenanginya.”

Messi tidak menjelaskan sama ada Piala Dunia akan menandakan penampilan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan Argentina. Argentina telah memenangi Piala Dunia dua kali, pada tahun 1978 dan '86.

Pasukan itu akan membuka aksi kejohanan pada 22 November menentang Arab Saudi dalam Kumpulan C sebelum berdepan Mexico dan Poland.

Messi membantu membawa Argentina ke suku akhir pada 2006 dan '10, kemudian ke final pada '14, apabila Argentina tewas kepada Jerman, 1-0, dalam masa tambahan.

Messi memperoleh Bola Emas sebagai pemain terbaik dalam kejohanan itu, menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan.