PUTRAJAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yakin skuad Young Tigers mampu memberikan kejutan dalam Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 5 hingga 16 Dis ini.

Biarpun diundi bersama juara bertahan Argentina diikuti juara 1997 Australia dan Chile, presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, percaya status tuan rumah bakal memberi kelebihan buat Malaysia sekali gus mencatat keputusan membanggakan dalam kejohanan tersebut.

"Undian ini di luar bidang kuasa kita (KHM) ia di bawah Persekutuan Hoki Dunia (FIH), kita terpaksa terima hakikat dan tak boleh kata kumpulan ini mudah atau tidak... saya cukup yakin kita akan beri tentangan baik dan mungkin boleh buat kejutan.

"Kita akan memberi persembahan terbaik. Selaku tuan rumah, ia adalah satu penghormatan untuk membanggakan negara kerana bagi saya setiap pemain dan jurulatih bertungkus lumus berlatih dan sebagainya," katanya pada majlis pelancaran logo rasmi kejohanan tersebut, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran logo itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Bagi menyemarakkan penganjuran kejohanan tersebut, Subahan berkata KHM akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menjemput murid sekolah menonton secara langsung di stadium.

Dalam pada itu, Hannah berharap agar KHM mampu menyusun aktiviti sampingan dalam usaha menarik lebih ramai rakyat Malaysia hadir ke venue sekali gus memeriahkan lagi penganjuran kejohanan itu.

Beliau juga yakin penganjuran kejohanan itu mampu melonjak ekonomi negara selain dijadikan platform sebagai pentadbir sukan negara untuk mengutip pengalaman menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan tersebut adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1979 di Versailles, Perancis; edisi 1982 ketika menjadi hos dan edisi 2013 di Bhubaneswar, India.

Sementara itu, juara enam kali, Jerman diletakkan dalam Kumpulan B bersama naib juara 2013 Perancis, diikuti Afrika Selatan dan Mesir manakala Kumpulan C membariskan juara dua kali, India yang diundi dengan Sepanyol, Korea Selatan serta Kanada.

Kumpulan D yang dilabel kumpulan maut pula menyaksikan juara dua kali Belanda diundi bersama juara 2016 Belgium, juara 1979 Pakistan dan New Zealand.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir manakala selebihnya akan beraksi bagi peringkat klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

-- BERNAMA