[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Piala EFL: Kapten Liverpool selar tindakan Hugo Ekitike

Astro Arena 24/09/2025 | 02:25 MYT
Ekitike meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan Piala EFL pusingan ketiga antara Liverpool dan Southampton di Stadium Anfield, Liverpool, England, 23 Sept 2025. (Foto AP)
KAPTEN Liverpool, Andy Robertson, menyifatkan tindakan Hugo Ekitike sebagai 'bodoh' selepas rakan sepasukannya itu dibuang padang gara-gara membuka baju ketika menentang Southampton sambil berkata dia akan 'amat terkejut' jika penyerang itu tidak belajar daripada insiden berkenaan.

Masuk sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua bagi menggantikan Alexander Isak, Ekitike meniru aksi penyerang Sweden itu usai menjaringkan gol kemenangan selepas menerima hantaran Federico Chiesa.

Tetapi, dia segera menerima padah apabila dilayangkan kad kuning kedua kerana menanggalkan bajunya.

Ia terjadi hanya lapan minit selepas dia dilayangkan kad kuning pertama gara-gara menendang bola jauh selepas wisel dibunyikan

"Kad kuning pertama memang satu kebodohan,” kata Robertson kepada Sky Sports ketika mengulas mengenai dua amaran yang diterima Ekitike.

Robertson beraksi sebagai kapten dalam kemenangan 2-1 itu ke atas Southampton dalam pusingan ketiga Piala EFL di Anfield -- menggantikan Virgil van Dijk yang direhatkan.

“Menjaringkan gol memang penuh emosi tetapi dia jelas terlupa bahawa dia sudah menerima kad kuning. Ia satu tindakan bodoh tetapi dia masih muda dan pasti akan belajar daripadanya.

"Saya yakin dia tidak akan mengulanginya," katanya.

Isak membuka jaringan dua minit sebelum tamat separuh masa pertama -- gol pertamanya sejak tiba dari Newcastle United -- tetapi Shee Charles kemudian menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-76.





#Liverpool #Piala EFL #Hugo Ekitike #Andy Robertson