SUKAN

Piala FA: Aidil Sharin puji semangat juang Kuching City selepas benam DPMM 7-1

Bernama 15/09/2025 | 04:20 MYT
Aidil Sharin berkata secara keseluruhan, prestasi pemain memang hebat walaupun berdepan lawan yang bermain dengan 10 orang. - Foto BERNAMA
KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji semangat dan tekad anak buahnya selepas The Cats mara ke suku akhir Piala FA dengan kemenangan besar 7-1 ke atas DPMM FC di Stadium Negeri malam tadi.

Kejayaan bergaya itu diserikan dengan hatrik penyerang Cameroon, Wanja Ronald Ngah, sekali gus memperlihatkan peningkatan ketara berbanding pertemuan terdahulu di Brunei serta menonjolkan peranan sokongan padu penyokong tuan rumah.

"Perbezaan besar malam ini ialah kami tampil dengan semangat lebih 'lapar' dan sedar bahawa kemenangan sangat penting. Selain itu, sokongan peminat sentiasa bersama kami dan itu amat bermakna dalam bola sepak.

"Secara keseluruhan, prestasi pemain memang hebat walaupun berdepan lawan yang bermain dengan 10 orang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Aidil berkata fokus kini beralih kepada aksi Liga Super menentang Selangor pada 21 Sept ini.

"Selangor sebuah pasukan besar tetapi kami akan beraksi di laman sendiri. Diharap cuaca baik supaya kedua-dua pasukan dapat mempamerkan aksi terbaik untuk peminat. Malam ini kita meraikan kemenangan, tetapi esok persiapan untuk perlawanan seterusnya akan bermula," katanya.

Sementara itu, jurulatih DPMM, James Reynolds McAllister mengakui pasukannya gagal bangkit selepas permulaan buruk dan kehilangan seorang pemain seawal minit ke-20 apabila pertahanan Jordan Rodrigues dilayangkan kad merah.

"Saya benar-benar kecewa dengan cara kami bermula. Sepanjang minggu kami bincang tentang kepentingan memulakan perlawanan dengan baik, tetapi terlalu banyak kesilapan dilakukan. Kad merah yang tidak sepatutnya, bermain 10 orang selepas 20 minit dan sudah ketinggalan 0-2... ia bukan permulaan yang kami mahukan.

"Kami menghadiahkan mereka hampir enam daripada tujuh gol. Tidak bertahan dengan baik, tidak menjaga kotak penalti, tidak menang dalam duel satu lawan satu. Itu asas bola sepak, jika tidak dilakukan, memang akan melalui malam yang sukar," katanya.

Beliau menegaskan pasukan perlu segera bangkit dan menumpukan perhatian kepada aksi seterusnya, sambil menyifatkan pengajaran daripada kekalahan besar itu mampu menguatkan lagi cabaran mereka.

"Pemain perlu belajar daripada kesilapan dan kembali berjuang dengan lebih kuat. Lakukan asas dengan betul, jalankan tugas masing-masing... jika asas bola sepak dipatuhi, peluang tetap ada," katanya.

-- BERNAMA






#Piala FA #Kuching City FC #Aidil Sharin Sahak #DPMM FC