Piala FA Inggeris: Ilkay Gundogan wira Manchester City benam seteru jiran

Astro Arena
Jun 4, 2023 00:30 MYT
Kejayaan di Stadium Wembley itu menyaksikan juara EPL berkenaan mengesahkan trofi kedua mereka dalam misi melengkapkan gelaran 'treble'. - Foto AP
ILKAY Gundogan dua kali menemui sentuhan berbisa buat Manchester City mengatasi Manchester United 2-1 untuk menjulang Piala FA, malam tadi.
Kejayaan di Stadium Wembley itu menyaksikan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan mengesahkan trofi kedua mereka dalam misi melengkapkan gelaran 'treble' menerusi Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Inter Milan dalam tempoh seminggu lagi.
City meniti di laluan tepat apabila ketua pasukan itu hanya memerlukan 12 saat untuk merekodkan jaringan terpantas dalam sejarah kempen itu dengan satu voli pantas yang melepasi David de Gea.
Seteru kota mereka itu juga tidak mahu mengalah apabila menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tendangan penalti Bruno Fernandes yang mengundang persoalan mengenai video bantuan pengadil (VAR) untuk menutup separuh masa pertama 1-1.
Namun, Gundogan sekali memainkan watak penting dalam menjana kemenangan kelabnya dengan satu lagi voli daripada sepakan percuma Kevin de Bruyne. - Stadium Astro
#Ilkay Gundogan #Piala FA #Manchester City #Manchester United