HUJUNG minggu ini kita lupakan sebentar soal politik, dan kes rasuah yang sedang hangat diperkatakan.

Ayuh rakyat Malaysia! Kita ‘enjoy’ seketika dengan menikmati perlawanan akhir bola sepak Piala FA yang menemukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT). Dua pasukan yang sering diperkatakan dalam kalangan peminat bolasepak tanah air.

JDT yang kini berada di kemuncak liga adalah pasukan ‘favourite’ berdasarkan rekod cemerlangnya dengan lapan kali bergelar juara Liga Super Malaysia berturut-turut dan tujuh kali juara Piala Sumbangsih. Suatu pencapaian yang sukar diatasi oleh mana-mana pasukan.

‘Ngauman’ Pasukan yang diberi julukan Harimau Selatan ini mampu menggerunkan mana-mana lawan yang bakal dihadapinya.

Justeru, pujian harus dihamburkan kepada pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana berjaya membina satu pasukan yang gah bukan sahaja dipersada bolasepak tanah air tetapi juga di peringkat Asia.

Kedudukan yang dinikmati oleh JDT sekarang ini bukanlah diraih secara tiba-tiba. Tiada lampu ajaib yang menolongnya terbang tinggi sebagaimana cerita dalam Hikayat Seribu Satu Malam atau makan muntah hantu yang menjadikan Badang manusia perkasa.

Pendek kata, tidak ada jalan mudah; semuanya itu diperolehi menerusi usaha keras sama ada di peringkat pengurusan, kejurulatihan, pemain dan sokongan penonton.

TFC pula merupakan pasukan ‘underdog’ yang kini menduduki tangga ke-4 dalam saingan Liga Super Malaysia. Pasukan ini diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mana Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi presidennya.

Berbanding JDT, pencapaian TFC tidaklah begitu memberangsangkan. Pernah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2001, juara Piala Sumbangsih 2001, dan juara Piala FA Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2011.

Walaupun begitu, memetik peribahasa Melayu “kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa”, mengingatkan bahawa pasukan gergasi tidak semestinya menang bila berhadapan dengan pasukan yang lebih kerdil.

Kadang-kadang ular lidi boleh menelan sang naga. Lihat bagaimana Newcastle United diaibkan 1-0 oleh Cambridge United ketika aksi pertembungan dalam saingan Piala FA England.

Justeru, tidak mustahil juga peristiwa yang sama juga boleh berlaku dalam saingan akhir Piala FA Malaysia 2022.

Rekod kemenangan 17-3 JDT ke atas TFC dan 6 kali seri sepanjang 27 pertemuan yang lalu tidak lagi boleh dijadikan sandaran. Sebaliknya, prestasi semasa kedua-dua pasukan menggambarkan ‘pertempuran’ sengit bakal berlaku pada hari Sabtu 10 September 2022 nanti.

Kemenangan JDT ke atas TFC dengan margin jaringan yang kecil iaitu 2-1 pasti tidak mahu diulangi oleh Sang Penyu.

Dengan keazaman yang kuat dan strategi yang betul, tidak mustahil Harimau Selatan mampu dilemaskan ke dalam Laut China Selatan sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun 2021 yang lalu.

Keampuhan JDT tidak perlu dipertikaikan lagi; kekal di tangga teratas Liga Super, dengan mengumpul 42 mata, memperoleh 13 kemenangan daripada 16 perlawanan.

Sekiranya tiga tonggak import iaitu Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez berada di tahap kecergasan yang memuaskan, maka TFC berada dalam keadaan bahaya.

Barisan pemain tempatan seperti Arif Aiman Hanapi dan Safawi Rasid juga boleh menjadi senjata pemusnah JDT.

Kekalahan 0-5 kepada Urawa Red Diamonds dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) ibarat harimau luka yang akan menerkam mangsanya tanpa belas kasihan.

Jika Sang Penyu tidak berhati-hati, sudah pasti JDT akan berpesta gol pada malam tersebut.

Namun, kekuatan TFC juga tidak boleh dipandang rendah. Prestasi cemerlang yang dipamerkan dalam Liga Super oleh pemain-pemain muda mampu meningkatkan keupayaannya jika dicatur dengan betul.

Bahkan pada ketika ini, Nafuzi Zain mendakwa bahawa pemainnya kini berada pada tahap prestasi dan motivasi terbaik.

Selain mempunyai pemain yang seimbang pada setiap posisi, gandingan tonggak import Tchetche Hermann Brice Kipre dan bintang tempatan yang sedang meningkat naik Muhammad Faisal Abdul Halim mampu menjanjikan sesauatu yang membuat penyokong TFC pulang dengan penuh kegembiraan.

Paling menarik dalam perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2022 ini ialah pertembungan dua jurulatih yang datangnya daripada benua dan latar belakang yang berbeza.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio, merupakan bekas pemain Venezuela. Berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dengan kelab-kelab ternama seperti Newell’s Old Boys, Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis.

Manakala, Nafuzi Zain hanyalah bekas pemain skuad kebangsaan dan pernah mewakili beberapa negeri dalam liga domestik. Beliau mula mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih TFC pada Mei 2019 selepas Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan.

Inilah dua ‘mastermind’ yang akan mencaturkan strategi kedua-dua pasukan. Apakah formasi 4-3-3 yang paling digemari oleh Hector Bidoglio? atau formasi 4-5-1 yang sering diterapkan oleh TFC?

Tunggu dan lihat. Inilah penentu pasukan mana yang akan berjaya.

Apa pun keputusan yang bakal dicetak, adalah diharapkan penyokong ultra keduadua pasukan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.

Nikmatilah keseronokkan perlawanan dari aspek yang positif seperti skil, strategi dan sokongan moral.

Usah terikut-ikut dengan emosi yang keterlaluan dan provokasi yang melampau hingga boleh mencetuskan pertembungan penyokong sebagaimana yang telah berlaku baru-baru ini.

Perasaan sedih apabila pasukan yang disokong itu tewas adalah sesuatu yang norma. Sebagai peminat tegar TFC umpamanya, penulis tidak mahu melihat Sang Penyu menangis.

Begitu juga penyokong JDT, tidak mahu melihat Sang Harimau Selatan dijinakkan. Namun, dalam perlawanan akhir, sang juara mesti ditentukan menerusi kemenangan.

Justeru, sama-samalah kita berpegang, “sukan adalah alat untuk menyatukan”. Selamat menonton.


* Penulis ialah Pensyarah Kanan di Seksyen Pembangunan Pelajar, UniKL MICET

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.