KEDAH mengiringi PDRM dan Johor Darul Tak'zim (JDT) sebagai tiga pasukan terawal yang menjamin tempat ke suku akhir saingan Piala FA 2016.

Barisan bimbingan Tan Cheng Hoe terpaksa mengharungi detik mencemaskan sebelum menyingkirkan Kelantan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila pemain yang ditugaskan mengambil sepakan kelima Pamoga Que Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Mohd Khairul Izuan Rosli tersasar, selepas masa sebenar perlawanan berakhir dengan 1-1.

Kedah melaungkan amaran awal perlawanan apabila percubaan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar terkena tiang gol walaupun Khairul Fahmi Che Mat sudahpun tertewas.

Namun kerancakan permainan mula terjejas apabila pemain kedua-dua pasukan kerap terlibat dalam insiden kekasaran sehingga menyebabkan Indra Putra Mahayuddin dan Jonathan McKain dilayangkan kad kuning.

Pada minit ke-34, McKain menutup kesilapan awalnya dengan menyumbat gol hasil umpanan Dramane Traore untuk meletakkan Kelantan di hadapan.

Namun begitu, skuad Helang Merah bangkit sebaik perlawanan bersambung pada babak kedua menerusi tandukan Khairul Helmi Johari pada minit ke-47.

Gol itu ternyata mencetuskan semangat Kedah untuk mengatur lebih banyak asakan dan paling hampir apabila rembatan Liridon Krasniqi yang sedikit tersasar pada minit ke-62.

Ketika perlawanan diheret masa tambahan, Kedah mencipta banyak peluang menarik, namun Khairul Fahmi cukup kental menafikan dua peluang terbaik Carlos Kahe dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Kali terakhir Kedah menjulang trofi Piala FA pada 2008.

Di Larkin, JDT turut mara selepas menundukkan Negeri Sembilan 4-1. Pesta gol JDT bermula pada minit ke-5 menerusi Azniee Taib sebelum Amri Yahyah menghukum lawan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 sebelum Jorge Pereyra Diaz mengukuhkan kedudukan dengan dua gol lagi pada minit ke-63 dan 90.

Gol saguhati Negeri Sembilan disumbangkan Andrew Nabbout.

PDRM melakar kejutan ke atas juara lima kali, Selangor dengan keputusan 2-1 menerusi jaringan Ahmad Nizam Rodzi dan Safuwan Baharudin.