SUKAN

Piala Liga: Liverpool uji Palace, Arsenal jumpa Brighton

Sinar Harian 25/09/2025 | 03:25 MYT
Anak buah Arne Slot akan melayan kunjungan Crystal Palace dalam pusingan keempat Piala Liga di Anfield. - Foto Agensi/Sinar Harian
LIVERPOOL bakal berdepan Crystal Palace dalam aksi tumpuan pusingan keempat Piala Liga selepas undian rasmi yang berlangsung awal pagi tadi.

Pertembungan itu mempertemukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan pemenang Piala FA, sekali gus menjanjikan saingan sengit di Anfield.

Turut mencuri tumpuan, juara bertahan Newcastle United akan melayan kunjungan Tottenham Hotspur dalam satu lagi pertembungan sesama kelab EPL.

Arsenal yang kali terakhir menjulang trofi Piala Liga pada 1993 pula diundi menentang Brighton & Hove Albion, manakala Chelsea bakal berkunjung ke Molineux bertemu Wolverhampton Wanderers.

Sementara itu, Grimsby Town yang menjadi satu-satunya wakil Divisyen Dua serta pencipta kejutan menyingkirkan Manchester United di pusingan terdahulu, sekali lagi diberi peluang aksi di laman sendiri menentang Brentford.

Dalam pada itu, tiga wakil Wales yang mara ke kelompok 16 terbaik buat julung kalinya turut mewarnai undian kali ini.

Wrexham akan menentang musuh tradisi Cardiff City dalam pertembungan pertama mereka sejak 2002, manakala Swansea City yang pernah menjuarai kejohanan ini pada 2013 diundi bertemu Manchester City.

Perlawanan pusingan keempat Piala Liga dijadualkan berlangsung pada minggu bermula 27 Oktober depan.

PIALA LIGA

Pusingan Keempat

Liverpool lwn Crystal Palace

Newcastle United lwn Tottenham Hotspur

Arsenal lwn Brighton

Wolverhampton Wanderers lwn Chelsea

Grimsby Town lwn Brentford

Wrexham lwn Cardiff City

Swansea City lwn Manchester City

Wycombe Wanderers lwn Fulham

- Sinar Harian







#Piala Liga #Liverpool #Crystal Palace #Arsenal