SUKAN

Piala Malaysia: Kelantan Red Warrior lengkapkan senarai 16 pasukan

Bernama 31/12/2025 | 15:30 MYT
Pemilihan Kelantan Red Warrior dibuat berdasarkan kedudukan pasukan itu dalam saingan Liga A1 Semi Pro, yang menyaksikan kelab berkenaan kini berada di tangga ketujuh daripada 16 pasukan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kelantan Red Warrior FC melengkapkan senarai 16 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2025-2026 selepas Kedah FA dan Armed Forces FC membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan berprestij itu pada musim ini.


Ringkasan AI
  • Kelantan Red Warrior FC dipilih sebagai salah satu daripada 16 pasukan yang akan menyertai Piala Malaysia 2025-2026 berdasarkan kedudukan mereka dalam Liga A1 Semi Pro.
  • Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC II tidak layak menyertai Piala Malaysia berdasarkan peraturan yang melarang pasukan simpanan beraksi.
  • Kejohanan Piala Malaysia bermula dengan pusingan 16 terbaik yang melibatkan lapan pasukan teratas Liga Super serta pasukan yang akan diundi dari Liga A1 Semi Pro, dengan final dijangka berlangsung pada bulan Mei.


Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan Kelantan Red Warrior dibuat berdasarkan kedudukan pasukan itu dalam saingan Liga A1 Semi Pro, yang menyaksikan kelab berkenaan kini berada di tangga ketujuh daripada 16 pasukan.

"Meskipun Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC II berada dalam kelompok tiga teratas Liga A1 Semi Pro, kedua-dua pasukan itu tidak layak menyertai kejohanan ini selaras dengan peraturan yang tidak membenarkan pasukan simpanan beraksi dalam pertandingan sama dengan kelab induk masing-masing.

"Sebanyak 16 kelab akan berentap merebut kejuaraan Piala Malaysia 2025-2026 termasuk penyertaan tiga pasukan daripada Liga A1 Semi Pro, iaitu Kelantan Red Warrior FC, Perak FA dan UM-Damansara United," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MFL memaklumkan kejohanan itu akan bermula daripada peringkat pusingan 16 terbaik, dengan lapan pasukan teratas Liga Super ketika ini layak secara automatik sebagai pasukan pilihan.

Pasukan berkenaan ialah juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, DPMM FC dan Sabah FC.

Sementara itu, lima pasukan Liga Super di kedudukan kesembilan hingga ke-13, iaitu Imigresen FC, Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC, Melaka FC dan PDRM FC akan diundi bersama tiga pasukan Liga A1 Semi Pro bagi menentukan pertemuan menentang pasukan pilihan.

"Mengikut perancangan awal, perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia dijangka bermula pada 17 Jan 2026, tertakluk kepada sebarang perubahan dengan perlawanan akhir disasarkan berlangsung pada Mei.

"Pasukan yang gagal mara ke peringkat suku akhir akan meneruskan cabaran dalam saingan MFL Challenge Cup 2025-2026," menurut kenyataan itu.

Undian Piala Malaysia 2025-2026 dijadual berlangsung pada Jumaat, 2 Jan ini.

-- BERNAMA

#PDRM #Liga Super #Piala Malaysia #Kelantan Red Warrior FC