Piala Malaysia: Perak FC layak ke separuh akhir

Bernama
September 25, 2023 16:40 MYT
Pemain Perak FC Wan Zack Haikal (kiri) mengawal bola ketika bertemu pasukan Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Perak FC layak ke separuh akhir Piala Malaysia biarpun menang tipis 1-0 berdepan Sabah FC pada aksi suku akhir kedua piala berprestij itu di Stadium Perak, di sini malam ini.
Keputusan malam ini membolehkan Skuad The Bos Gaurus mengatasi Sabah dengan agregat 3-2 selepas mencatat keputusan seri 2-2 pada suku akhir pertama, 15 Sept lepas.
Kedua-dua pasukan dilihat bersemangat untuk menghadirkan jaringan dengan melancarkan serangan bertubi-tubi kepada gawang pasukan lawan namun dinafikan ketangkasan penjaga gawang masing-masing sebaik perlawanan bermula.
Namun ketika perlawanan tiba di penghujung babak pertama, Wan Zack Haikal berjaya menceriakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengubah taktikal mereka namun gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan pada minit akhir perlawanan.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Perak layak ke separuh akhir Piala Malaysia serta bakal bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.
--BERNAMA
#Perak FC #Piala Malaysia #Separuh Akhir #Sabah FC