KUALA NERUS: Aksi pembuka tirai Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Kuching City FC (KCFC) malam esok pastinya mencuri tumpuan kerana ia umpama pertemuan 'guru' dengan 'anak murid'.

Ini kerana Nafuzi Zain pernah menjadi pembantu kepada Irfan Bakti Abu Salim bermula 2017 sebelum mengambil alih posisi sebagai ketua jurulatih TFC daripada Irfan Bakti yang meletak jawatan secara mengejut berikutan masalah prestasi pasukan pada pertengahan 2019.

Menurut Nafuzi, pertembungan dengan KCFC malam esok adalah suatu perkara yang cuba dielakkan kerana disifatkan seperti menentang 'guru' sendiri yang kini pengendali KCFC.

Bagaimanapun beliau akui perlu mengetepikan seketika rasa 'segan' terhadap bekas guru yang amat disanjunginya itu kerana tanggungjawab terhadap TFC melebihi segala-galanya.

"Bukan sebab siapa menang atau siapa kalah atau keputusan perlawanan nanti, tetapi perasaan ini memang susah nak digambarkan. Jurulatih lain tak mengapa. Tapi saya memang seboleh-bolehnya tak mahu berjumpa coach Irfan kerana ada sesuatu yang peribadi," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata beliau berasa agak lega kerana semua pemain termasuk 'ayam tambatan' importnya bebas daripada sebarang kecederaan untuk pertemuan dengan KCFC malam esok.

Katanya, TFC memerlukan kesebelasan terbaik untuk diturunkan bagi menentang KCFC yang dijangka boleh melakukan kejutan pada bila-bila masa.

"Walaupun KCFC adalah pasukan Liga Perdana, mereka tidak boleh diambil mudah kerana pasti mempunyai motivasi yang tinggi untuk membuat kejutan di Piala Malaysia.

"Jadi saya agak lega kerana semua pemain berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk turun melayan kunjungan KCFC Ahad ini," katanya.

Kali terakhir Terengganu FC ke pentas akhir Piala Malaysia adalah pada 2018 ketika di bawah bimbingan Irfan Bakti yang menyaksikan mereka tewas kepada Perak menerusi penentuan penalti.

-- BERNAMA