Piala Malaysia: Stadium Temerloh kecoh, FUFC mara ke separuh akhir

Bernama
Oktober 11, 2014 04:02 MYT
Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil untuk mengalihkan suar yang dilempar penyokong pada perlawanan FUFC menentang Selangor. -Foto Bernama
Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil untuk mengalihkan suar yang dilempar sekumpulan penyokong sejurus berakhirnya perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Pahang pada Jumaat.
Kejadian berlaku di hadapan kira-kira 10,000 peminat kedua-dua pasukan sejurus Felda United FC (FUFC) layak ke separuh akhir melalui keputusan agregat selepas berakhirnya saingan suku akhir kedua malam tadi.
Keputusan 3-3 yang dicatat FUFC ketika berdepan juara 32 kali Selangor pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang malam tadi menyaksikan mereka layak dengan kemenangan agregat 7-3.
Keadaan kecoh apabila kalangan penyokong mula membakar suar di dalam stadium. -Foto Bernama
Skuad 'The Fighters' menang selesa 4-0 ke atas Selangor pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 3 Okt lepas.
Pada aksi di Pahang itu, skuad Gergasi Merah berjaya meraih gol pembukaan hasil jaringan Paulo Rangel pada minit ke-30 selepas beliau menyambar bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol FUFC, Mohd Farizal Harun.
Suar yang dilempar ke dalam padang berjaya dialihkan. -Foto Bernama
Edward Junior Wilson menyamakan kedudukan untuk skuad The Fighters pada minit ke-48 menerusi rembatan kencang namun kegembiraannya tidak bertahan lama apabila Andik Vermansah meledak gol kedua Selangor, empat minit kemudian.
Rangel mencipta gol peribadi keduanya pada minit ke-62 selepas menyudahkan hantaran daripada Andik sebelum Edward merapatkan jurang jaringan, tujuh minit kemudian.
Indra Putra Mahayuddin memusnahkan harapan Selangor untuk meneruskan 'Misi 33' dengan gol ketiga pada minit ke-85.
#bomba #Felda United FC #FUFC #Piala Malaysia #Selangor #temerloh