[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
SUKAN

Piala Negara-Negara FIH Wanita 2: Langkah sumbang Malaysia, tewas kepada Poland

Bernama 17/06/2025 | 04:40 MYT
Skuad hoki wanita negara tewas 0-2 kepada Poland.
KUALA LUMPUR: Permulaan kurang memberangsangkan buat skuad hoki wanita negara apabila tewas 0-2 kepada tuan rumah, Poland, pada aksi pertama Kumpulan A kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Wanita 2 hari ini.
Perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengimbangi permainan dengan kedudukan terikat 0-0 hingga suku ketiga perlawanan.
Namun benteng pertahanan skuad negara berjaya dirobek oleh dua jaringan Tartaczuk Sandra pada suku terakhir perlawanan.
Mohd Nasihin berkata Malaysian Tigress mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan gol pada suku pertama dan kedua namun ketangkasan penjaga gol Poland menidakkan peluang Malaysia untuk memecah kebuntuan.
"Pada saat akhir, sedikit kecewa kerana kesilapan memberikan peluang kepada Poland menjaringkan gol. Saya harap pemain dapat bangkit dan memberikan yang lebih baik untuk perlawanan esok bertemu Afrika Selatan," katanya menerusi rakaman video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Afrika Selatan meraih kemenangan pertama selepas menewaskan Uruguay 2-0.
-- BERNAMA
#hoki Malaysia #hoki wanita #poland #Piala FIH