SUKAN

Piala Raja Thai: Skuad kuadran Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun

Bernama 25/07/2025 | 22:00 MYT
Skuad regu berpasukan lelaki negara mengekalkan rekod bersih dengan memenangi dua lagi perlawanan Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan. - Facebook PSM
KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk melangkah ke final acara kuadran lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 musnah selepas tewas 0-2 kepada Jepun di Songkhla, malam tadi.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias tumpas 11-15, 13-15 dalam aksi separuh akhir yang sengit berlangsung di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai.

Dalam pada itu, skuad regu berpasukan lelaki mengekalkan rekod bersih dengan memenangi dua lagi perlawanan Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Malaysia menumpaskan Laos 3-0 pada saingan di sebelah pagi diikuti keputusan sama pada aksi terakhir kumpulan menentang Jepun.

Pada Khamis, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan mengatasi Korea Selatan dan Myanmar, masing-masing menerusi keputusan 3-0.

-- BERNAMA

#Piala Raja Thai #Jepun #sepak takraw #kuadran