KUALA LUMPUR: Hasrat skuad sepak takraw negara mencipta kejutan ke atas musuh tradisi, Thailand pada perlawanan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thailand ke-36 tidak kesampaian apabila tewas 0-2, di Nakhon Ratchasima (Korat) hari ini.

Regu pertama negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Mohd Muqlis Borhan gagal memberikan mata pendahuluan selepas tumpas 18-21, 9-21 kepada gandingan Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Wichan Temkort.

Harapan diletakkan ke atas Mohamad Azlan Alias, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican dan Farhan Adam untuk menyamakan kedudukan berdepan regu kedua skuad Gajah Perang, Siriwat Sakha, Warayut Chantarasena dan Pattarapong Yupadee juga musnah selepas kecundang 14-21, 14-21.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Namun, pujian harus diberikan kepada anak buah Ahmad Jais Baharun itu apabila berjaya ke final sekali gus memperbaharui pencapaian pingat gangsa acara regu berpasukan lelaki pada edisi lepas.

Skuad sepak takraw negara mengesahkan kemaraan ke final itu selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung semalam.

Rabu lepas, skuad sepak takraw negara terpaksa berpuas hati meraih pingat perak dalam acara antara regu selepas turut tewas kepada regu utama tuan rumah.

-- BERNAMA