Piala Sudirman: Malaysia terkandas di separuh akhir

Sinar Harian
Mei 20, 2023 06:18 MYT
Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menghadiahkan mata penyamaan selepas tewas Kim Win Ho-Na Sung Seung 21-12, 21-11. -Foto Sinar Harian
IMPIAN skuad badminton negara untuk melangkah ke final Piala Sudirman tidak kesampaian apabila tewas kepada Korea Selatan 1-3 dalam aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Suzhou, China pada Sabtu.
Ia sekali gus menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati hanya menyamai pencapaian yang dilakukan pada 2009 dan 2021.
Malaysia tidak dapat memperagakan aksi yang diharapkan terutama melalui beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas kepada Kim Win ho-Na Sung Seung 12-21,11-21 pada ketika skuad negara memerlukan mata penyamaan.
Sebelum itu, pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tampil dengan permainan agresif menang set pertama 21-11 ke atas gandingan di ranking kelima dunia, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.
Bagaimanapun, mereka gagal meneruskan rentak tersebut tewas pada dua set berikutnya 13-21 dan 7-21 sekali gus memberikan mata pertama kepada Korea Selatan.
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyalakan harapan apabila menang mudah untuk menyamakan kedudukan mengatasi Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-9.
K Letshanaa yang diturunkan menggantikan Goh Jin Wei dalam acara perseorangan wanita pula nyata bukan tandingan buat pemain nombor dua dunia, An Se Young apabila tewas 10-21,13-21.
Korea Selatan yang berjaya mara ke final buat kali kelapan akan menanti pemenang antara China atau Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir petang ini. -Sinar Harian
#Piala Sudirman #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #Malaysia terkandas di separuh akhir #Korea Selatan