MALAYSIA perlu mengemukakan senarai pemain untuk ke Piala Thomas dan Piala Uber selewat-lewatnya 22 April ini sebelum kejohanan itu berlangsung 8 Mei depan.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menjelaskan kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, bahawa antara nama wajib dalam skuad negara kali ini adalah beregu lelaki selain turut menjawab spekulasi masa depan jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman.

"Negara lain seperti China juga melahirkan pemain baru.

"Kami sudah ada senarai nama tapi belum tahu bila akan diumumkan. Tapi seperti yang diketehui, nama Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pasti tersenarai," katanya.

Difahamkan kem latihan Piala Thomas dan Piala Uber bakal bermula Khamis ini dan kem latihan itu akan disertai skuad negara yang bersaing dalam Sukan SEA Vietnam, dari 12 hingga 23 Mei depan.

Dalam pada itu, Rexy tampil menjawab mengenai spekulasi jurulatih beregu campuran, Paulus, yang dikatakan akan meninggalkan BAM.

Rexy menjelaskan kontrak Paulus akan tamat 26 April ini dan badan induk negara itu masih dalam perbincangan bersama jurulatih tersebut dan tiada kata putus buat masa ini.

"Saya dan BAM sedang berunding dengannya. Jadi, khabar angin bahawa dia ingin berhijrah tidak betul.

"Ketika ini dia bercuti seminggu kerana sudah lama tidak berjumpa dengan keluarganya sejak pandemik," katanya lagi.