BANGKOK: Kemenangan sudah hampir tetapi perasaan gentar merosakkan momentum skuad negara mengakibatkan mereka tewas 2-3 kepada Denmark dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C Final Piala Uber 2022 di sini pada Ahad.

Selepas bekas Juara Remaja Dunia Goh Jin Wei mendahului Denmark 2-1, beregu kedua negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing terlepas peluang keemasan untuk memastikan kemenangan sulung mereka ke atas Skuad Valkyrie dalam kejohanan yang berlangsung di Impact Arena di sini.

Mereka tewas 14-21, 10-21 kepada Alexandre Boje-Amalie Magelund yang menghidupkan kembali peluang Denmark sebelum Line Kjaersfeldt memberikan mata kemenangan untuk negaranya selepas dengan mudah menundukkan wakil Malaysia yang kurang berpengalaman Myisha Mohd Khairul 21-12, 21-9 dalam masa 33 minit.

Anna mengakui pertemuan kali pertama dengan lawan mereka tidak berjalan lancar kerana mereka gagal mengawal tekanan semasa beraksi di gelanggang.

"Kami kena belajar kawal tekanan, kali ini tidak dapat mengawalnya dengan bagus dan akhirnya kami tidak beraksi dengan baik. Kami perlu lebih tenang dan memulihkan diri untuk persiapan perlawanan seterusnya menentang Thailand esok," kata beliau kepada wartawan ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

BACA: Badminton Piala Uber: Malaysia tewas tipis kepada Denmark

Pada masa sama, Myisha berkata beliau merasa amat kecewa dalam aksi sulungnya dalam Piala Uber kerana gagal menghalang Denmark daripada mengecapi kemenangan pertama mereka, Ahad.

Juara Siri Antarabangsa Belanda 2022 yang baharu dimahkotakan itu berkata beliau kurang agresif dan perlahan dalam pergerakannya di gelanggang.

Ketika mengulas prestasi keseluruhan skuad negara, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Han merumuskan ada pemain negara yang masih belum setanding dengan pemain Denmark.

Choong Han juga berkata beliau akan berbincang dengan pasukan kejurulatihan untuk menentukan barisan pemain dalam perlawanan "mesti menang" menentang pasukan pilihan, Thailand untuk mencerahkan peluang mara ke suku akhir.

Walaupun tewas 14-21, 15-21 dengan Mia Blichfeldt dalam perlawanan hari ini, pemain perseorangan negara S Kisona percaya ada peningkatan dalam permainannya selepas tewas kepada pemain sama 11-21, 7-21 dalam edisi tahun lepas di Aarhus, Denmark.

"Ia adalah perlawanan yang sukar tetapi secara keseluruhan kekuatan dan kecergasan saya sudah bertambah baik, saya hanya perlu berusaha lagi mendapatkan prestasi terbaik saya," katanya.

Kekalahan keenam mereka dengan Denmark dalam kejohanan ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan sukar kerana mungkin terlepas peluang ke suku akhir Piala Uber.

-- BERNAMA