KUALA LUMPUR: Beraksi dengan seratus peratus pemain tempatan tidak menghalang Petaling Jaya (PJ) City FC untuk membuka kempen Liga Super 2022 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United di Stadium Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Penyerang S. Kumaahran muncul wira pasukan apabila berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi 'volley' cantik dari luar kotak penalti tepat ke gawang menewaskan penjaga gol Norazlan Razali pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, skuad 'The Phoenix' terus melakukan serangan bertali arus, namun tidak mampu meningkatkan jurang dihadapan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya baharu diketuai oleh Kim Pan Gon, yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu.

Untuk rekod, Melaka United menurunkan lima pemain import terdiri daripada Mikel Justin Cagurangan Baas dari Filipina di bahagian pertahanan, pemain tengah Sony Norde (Haiti), Emmanuel Oti Essigba (Ghana) serta penyerang Ifedayo Olusegun (Nigeria) dan Adriano Narcizo (Brazil) pada kesebelasan utama perlawanan tersebut.

Sementara itu, perlawanan tunggal Liga Premier malam ini menyaksikan Kelantan FC mengecewakan tuan rumah Johor Darul Ta'zim (JDT) II dengan kemenangan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad 'The Red Warriors' membuka jaringan menerusi pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan Indonesia, Natanael Siringo Ringo yang berjaya menyudahkan serangan balas pantas dalam situasi satu lawan satu pada minit ketujuh.

Pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan, turut menerusi serangan balas daripada Daryl Sham pada minit ke-75 selepas menerima hantaran daripada Garbiel Nistelrooy Tamin, namun skuad kendalian Rezal Zambery Yahya berjaya mengesahkan tiga mata menerusi jaringan Jasmir Mehat dari jarak dekat pada minit ke-89.

Tiga lagi perlawanan yang dijadualkan pada malam ini - aksi Liga Super Sri Pahang FC menentang Terengganu FC serta aksi Liga Premier Perak FC bertemu Kelantan United dan Selangor 2 menentang Skuad Projek FAM-MSN - ditunda kerana penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pemain dan anggota pasukan.

-- BERNAMA