PKPB: MSN umum pengurusan latihan atlet hari ini

Bernama
Oktober 12, 2020 20:41 MYT
Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan memaklumkan tentang pengurusan latihan atlet hari ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula Rabu ini.
Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan memaklumkan pengurusan latihan tersebut untuk disesuaikan dengan PKPB itu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin, berkata kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini.
Ia selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, daerah Petaling serta Gombak.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, MSN menghentikan semua program latihan dan meminta semua atlet pulang ke rumah masing-masing, sebelum latihan disambung secara berperingkat bermula dengan atlet 'Road to Tokyo' pada Jun lepas.
-- BERNAMA
#Majlis Sukan Negara #MSN #pengurusan latihan atlet #PKPB #Selangor #Kuala Lumpur #Putrajaya #Ahmad Shapawi Ismail #atlet #latihan #PKP #COVID-19