'Pochettino patut jadi pengurus Manchester United, sekiranya...' - Rooney

Astro Awani
Februari 6, 2019 08:41 MYT
Rooney mahu lihat Pochettino mengendali United sekiranya kelab tidak melantik Ole Gunnar Solskjaer. - Gambar fail
BEKAS pemain Manchester United, Wayne Rooney merasakan pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino adalah ‘insan yang sesuai’ untuk mengemudi The Red Devils sekiranya kelab itu tidak melantik Ole Gunnar Solskjaer.
Katanya, bekas rakan sepasukannya yang kini menyandang posisi pengurus sementara telah mempamer prestasi cemerlang dengan 10 perlawanan tanpa kalah sejak Disember, rekod permulaan terbaik bagi pengurus dalam sejarah United.
“Suka untuk melihat Ole Gunnar meneruskan rentaknya dan mendapat jawatan tersebut secara tetap.
“Tapi sekiranya tidak, sekiranya kelab mahu memilih orang lain, saya rasa Pochettino adalah orang yang sesuai,” kata penjaring terbanyak sepanjang zaman United itu kepada CNN.
Pochettino mendahului senarai beberapa nama yang dikaitkan untuk mengambil alih kerusi panas pengendali United selepas Jose Mourinho dipecat pada Disember.
Bagaimanapun, Solskjaer telah mengatasi pengurus kelahiran Argentina itu sebagai pilihan selepas mengembalikan semangat dan keyakinan pemain serta seluruh penyokong The Red Devils.
United telah mengutip 22 mata daripada lapan perlawanan liga di bawah Solskjaer, berbanding 26 mata dalam 17 perlawanan ketika di bawah kendalian Mourinho, juga berjaya melangkah ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Arsenal.
#bola sepak #Jose Mourinho #Manchester United #Mauricio Pochettino #Ole Gunnar Solskjaer #the Red Devils #united #Wayne Rooney