[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
SUKAN

Presiden MA: Shahidan umum tarik diri saat akhir

Bernama 15/06/2025 | 10:43 MYT
Shahidan tidak menyatakan alasan penarikan diri berkenaan yang dilakukan sebelum pemilihan bermula. - Bernama
KUALA LUMPUR: Penyandang jawatan Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Seri Shahidan Kassim membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri daripada pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu pada saat-saat akhir hari ini.
Perkara itu dinyatakan Shahidan dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Facebook MA petang ini tanpa beliau menyatakan alasan penarikan diri berkenaan yang dilakukan sebelum pemilihan bermula.
"Saya Datuk Seri Shahidan Kassim ingin menarik diri daripada bertanding Presiden MA bagi penggal 2025 sehingga 2028. Semoga mesyuarat agung kali ini berjalan dengan baik dan prosesnya berjalan dengan lancar," kata Shahidan dalam video berkenaan.
Selain Shahidan, difahamkan seorang lagi calon Presiden MA, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Datuk Wan Hisham Wan Salleh turut menarik diri.
Perkembangan itu menyaksikan jawatan nombor satu MA bakal menjadi saingan satu lawan satu di antara Timbalan Presiden MA Datuk Mark William Ling Lee Meng dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak Datuk Karim Ibrahim.
Shahidan sebelum ini pernah menerajui MA dari 2006 hingga 2012 sebelum kembali memimpin badan induk itu bagi penggal 2022-2025.
-- BERNAMA
#presiden MA #Olahraga Malaysia #Shahidan Kassim #tarik diri #pemilihan pucuk pimpinan