Prestasi pemain muda TFC dapat pujian jurulatih

Bernama
September 17, 2023 03:46 MYT
Pemain Terengganu FC (TFC) Muhammad Syahmi Zamri (dua, kiri) meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol semasa menentang pasukan Selangor FC malam tadi. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner memuji aksi cemerlang yang diperagakan pemain muda pada perlawanan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia menentang Selangor FC malam tadi.
Steinbruckner berkata pemain muda seperti Muhammad Safwan Mazlan, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob dan Muhammad Syahmi Zamri telah mempamerkan peningkatan prestasi yang membanggakan sehingga menyumbang kepada kemenangan pasukan.
Beliau berkata kombinasi pemain senior dan baharu juga berjaya membuahkan hasil serta gandingan tersebut akan memantapkan lagi skuad Penyu untuk menghadapi cabaran perlawanan akan datang, termasuk saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) yang bermula 20 Sept ini.
"Saya sangat gembira kerana pemain muda kami bermain semakin baik malam ini. Safwan walaupun dia tidak banyak bermain, bermain dengan baik malam ini.
"Hari ini (malam tadi) tiada kesilapan besar dan saya rasa kami berhak untuk menang," katanya selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.
Terengganu berjaya membawa bekalan dua gol selepas menewaskan Selangor 2-0 untuk perlawanan suku akhir kedua di Shah Alam, Ahad depan.
Sementara itu, pengendali skuad The Red Giants, Tan Cheng Hoe berkata kegagalan pemain mengawal permainan dan melakukan hantaran berkualiti menyebabkan keyakinan pasukan terjejas sekali gus gagal mencipta kemenangan.
Sehubungan itu beliau menggesa pemainnya supaya memperbaiki kelemahan serta kesilapan bagi menghadapi perlawanan di laman sendiri nanti.
"Kekalahan ini menjadi pengajaran besar bagi kita. Pemain perlu mempersiap mental dan fizikal untuk berhadapan Terengganu bagi perlawanan timbal balik," katanya.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #Ketua jurulatih Terengganu #Tomislav Steinbruckner #TFC #Selangor FC