SPORTS
“Prestasi saya musim ini sangat buruk” - Pep Guardiola
Pep Guardiola mengakui bahawa prestasinya pada musim ini “sangat buruk” ketika pasukannya bergelut untuk mengembalikan prestasi sebagai juara bertahan. - Gambar fail AP
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, mengakui bahawa prestasinya pada musim ini “sangat buruk” ketika pasukannya bergelut untuk mengembalikan prestasi sebagai juara bertahan.
City yang telah memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Guardiola sejak beliau menyertai kelab itu pada 2016, kini berada di tangga kelima liga, ketinggalan 22 mata di belakang pendahulu, Liverpool.
“Tanggungjawab saya adalah untuk mengatasi situasi ini dengan lebih baik, tetapi saya gagal melakukannya,” kata pengendali berusia 54 tahun itu kepada wartawan.
City bakal berdepan Bournemouth dalam peringkat suku akhir Piala FA pada Ahad dalam usaha mereka untuk menjulang trofi itu buat kali kelapan.
Namun, Guardiola menegaskan, memenangi piala atau layak ke saingan Eropah tidak akan menghapuskan kekecewaan mereka dalam kempen liga musim ini.
“Sudah tentu, akan menjadi sesuatu yang baik jika kami mara ke final Piala FA, memenanginya dan layak ke Liga Juara-Juara. Itu akan menjadi satu pencapaian yang hebat, tetapi musim ini tetap buruk dan itu tidak akan berubah.
“Standard kami dan banyak perkara lain tidak berada pada tahap terbaik, itulah realitinya... saya berharap ia tidak akan berulang musim depan,” tambahnya. - Agensi