SUKAN
PSG julang trofi UCL pertama, leburkan Inter Milan 5–0 di final

Kejayaan PSG ini menutup musim impiannya yang turut menjuarai Ligue 1 dan Coupe de France sekali gus melengkapkan treble bersejarah. - Foto PSG
PENANTIAN panjang Paris Saint-Germain (PSG) akhirnya berakhir dengan penuh gaya apabila kelab gergasi Perancis itu merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama, menewaskan Inter Milan 5–0 dalam aksi final yang berlangsung di Allianz Arena.
Skuad kendalian Luis Enrique tampil garang sejak sepak mula dan terus memberi tekanan kepada gergasi Serie A itu. Pemain pertahanan kanan Achraf Hakimi membuka jaringan seawal minit ke-12, menyuntik semangat juang pasukan muda PSG.
Namun malam itu jelas milik remaja sensasi berusia 19 tahun, Désiré Doué. Pemain tengah berbakat besar itu mencetak dua gol pada minit ke-20 dan 63, selain turut mencipta satu assist. Aksi cemerlangnya menjadikannya remaja ketiga dalam sejarah yang berjaya menjaringkan gol di final UCL, serta pemain termuda yang berjaya menjaringkan dan membantu gol dalam perlawanan akhir tersebut.
PSG terus menambah derita Inter apabila pemain sayap Georgia, Khvicha Kvaratskhelia, menyumbat gol keempat pada minit ke-73. Pemain gantian Senny Mayulu pula melengkapkan malam gemilang Les Parisiens dengan jaringan kelima enam minit sebelum tamat perlawanan.Kejayaan ini menutup musim impian PSG yang turut menjuarai Ligue 1 dan Coupe de France sekali gus melengkapkan treble bersejarah. Bagi Luis Enrique, ini adalah kali kedua beliau mencatat treble Eropah, menyamai rekod Pep Guardiola satu pencapaian luar biasa buat jurulatih Sepanyol itu.
Kemenangan penuh bergaya ini bukan sahaja mengesahkan dominasi PSG di pentas domestik dan Eropah, tetapi juga merealisasikan impian besar pemilik kelab dari Qatar untuk menjadikan PSG kuasa bola sepak dunia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami