KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memilih empat lagi pemain untuk diserapkan dalam skuad senior kebangsaan sekali gus melengkapkan senarai 18 pemain bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata penyenaraian pemain berkenaan, masing-masing dua tekong dan apit kanan diputuskan selepas Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Alor Setar, Kedah bulan lepas.

"Untuk killer (apit kanan) kita dah putuskan iaitu Baihakki A'ripin (ATM) dan seorang lagi Mohd Hafizul Hayazi Adnan (Negeri Sembilan).

"Tekong pula ialah Muhammad Syahmi Husin (PDRM) dan Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri (Pulau Pinang)," katanya kepada pemberita di sini malam tadi. 

Pada 12 Dis lepas, PSM mengumumkan badan induk itu akan menyenaraikan 18 pemain untuk menyertai skuad lelaki manakala 12 pemain wanita disenaraikan dalam kem kebangsaan.

Seramai 14 pemain diumumkan dalam senarai awal kem kebangsaan terdiri daripada Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zuhri dengan masing-masing memikul tanggungjawab sebagai tekong.

Posisi apit kanan pula diisi Mohamad Azlan Alias, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhmmad Redwan Hakim Muhammad dan Muhammad Arief Danial Mohamad Arifin.

Posisi apit kiri melibatkan Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Muhammad Zaim Razali, Muhammad Lutfil Hadi Azmi dan Aidil Aiman Azwawi.

Sementara itu, Mohd Sumali memaklumkan dua bekas pemain Thailand, Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong dilantik sebagai perunding serta pembantu kepada ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun dalam mempersiapkan pasukan menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di sini dari 17 hingga 27 Mei depan.

"Mereka mula menjalankan tugas dari 1 Feb hingga 31 Mei ini. Poonsak akan bantu secara keseluruhan termasuk bagi regu dan berpasukan serta skuad Malaysia B sementara Seksan fokus kepada pasukan double," katanya.

Beliau pada masa sama tidak menolak kemungkinan khidmat kedua-dua individu itu disambung sekiranya keputusan positif diraih skuad kebangsaan pada kejohanan Piala Dunia itu nanti.

-- BERNAMA