SUKAN

"The Pulse" abadikan kisah perjuangan "The Pocket Rocketman"

Bernama 12/11/2025 | 20:00 MYT
The Pulse membawa maksud nadi, melambangkan semangat juang The Pocket Rocketman yang tidak pernah padam walaupun dilanda masalah jantung. - Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Kisah hidup dan perjuangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal diabadikan dalam sebuah dokumentari khas bertajuk The Pulse dan disiarkan di platform penstriman antarabangsa Netflix, pada suku ketiga tahun depan.


Ringkasan AI
  • Dokumentari khas bertajuk The Pulse mengabadikan kisah hidup dan perjuangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, bakal disiarkan di Netflix suku ketiga tahun depan.
  • Semangat juang tinggi Mohd Azizulhasni menarik minat syarikat tempatan untuk menerbitkan dokumentari, melambangkan semangat juang The Pocket Rocketman yang mengatasi pelbagai cabaran.
  • Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim menyatakan dokumentari ini akan menjadi inspirasi kepada atlet lain dan mengangkat nama Terengganu sebagai negeri yang melahirkan atlet bertaraf dunia.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, semangat juang tinggi dan perjalanan karier jaguh Olimpik yang penuh cabaran telah menarik minat sebuat syarikat tempatan untuk menerbitkan dokumentari atlet yang lahir dari program pembangunan sukan negeri itu.

Beliau berkata, The Pulse membawa maksud nadi, melambangkan semangat juang The Pocket Rocketman yang tidak pernah padam walaupun dilanda masalah jantung.

"Malah beberapa insiden lain seperti tertusuk kayu ketika pertandingan, beliau masih meneruskan kayuhan. Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan sangat memberi inspirasi kepada atlet lain," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di sini pada Rabu.

Hishamuddin berkata, dokumentari berkenaan bukan sahaja satu penghargaan kepada Mohd Azizulhasni, malah mengangkat nama Terengganu sebagai negeri yang melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh bagi memastikan proses penggambran berjalan lancar dan siap mengikut jadual.

"Dokumentari ini juga akan menonjolkan peranan semua pihak hingga membawa kepada kejayaan meraih pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ketabahan beliau wajar dijadikan contoh dan ikon kepada generasi baharu. Ia akan memberi inspirasi kepada atlet yang sedang berjuang mengharumkan nama negara," katanya.

-- BERNAMA






#Sukan Olimpik Tokyo #The Pocket Rocketman' #Netflix #The Pulse