SUKAN

Qabil bangkit tamatkan kejohanan di kedudukan podium pada ESBK Talent Aragon

Bernama 29/06/2025 | 21:40 MYT
Qabil Irfan Azlan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan bangkit dari kekecewaan dengan meraih kedudukan podium pada Perlumbaan 2 kelas ESBK Talent pada Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Aragon, Sepanyol, semalam.
Penunggang berusia 13 tahun dari Frando Racing VHC Team itu, yang memulakan saingan dari petak kedua perlumbaan 11 pusingan tersebut, menampilkan pecutan cemerlang dengan menamatkan saingan hanya 0.018 saat (s) di belakang Alessio Arnold dari pasukan Fullmoto Squadra Corse.
Tempat ketiga menjadi milik Enzo Zaragoza dari Aspar KBS Technical Academy yang melengkapkan kedudukan podium.
Pusingan keempat musim dijadual berlangsung di Litar Navarra, Sepanyol dari 17-20 Julai ini.
Terdahulu pelumba dari Terengganu itu terlepas peluang untuk muncul juara Perlumbaan 1 ESBK selepas dipintas saat akhir pada kejohanan yang berlangsung pada Sabtu.
-- BERNAMA
#Litar Aragon Sepanyol #ESBK Talent #Qabil Irfan Azlan #pelumba muda negara