[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
SUKAN

Ragbi: Johor sasar bawa pulang Piala Agong 2025

Bernama 30/09/2025 | 14:00 MYT
Mohd Noorazam, bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Johor Rugby Carnival 2025 edisi ke-13 hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Skuad ragbi Johor bertekad menjadikan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 sebagai pentas kebangkitan untuk membawa pulang kejuaraan selepas dikecewakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada final edisi lepas.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor Datuk Mohd Noorazam Osman berkata pasukan itu memiliki rekod cemerlang dalam sejarah kejohanan dengan dua gelaran pada 2013 dan 2017, selain mara ke final sebanyak dua kali termasuk tahun lalu.

"Sejak (kejohanan ini) diperkenalkan pada 1984, Johor menang dua kali iaitu pada 2013 dan 2017. Tetapi kita juga pernah mara ke final pada 2016, serta 2024. Insya-Allah pada edisi kali ini kita mengharapkan dapat menjulang kejuaraan semula.

"Kita sudah buat persiapan rapi dengan barisan pemain majoritinya anak Johor daripada program pembangunan negeri, selain disokong pemain import dan naturalisasi," katanya pada sidang media Johor Rugby Carnival 2025 di sini hari ini.

Mohd Noorazam berkata Johor menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod kemenangan penuh, sebelum berehat dua minggu menjelang pusingan kalah mati.

"Buat masa ini kita belum tahu siapa lawan di peringkat seterusnya, tetapi fokus utama Johor adalah membaiki kelemahan sendiri dan terus meningkatkan prestasi. Apa yang penting, kita meningkat secara konsisten untuk mencapai objektif menjulang Piala Agong," katanya.

Dalam kejohanan musim ini, Johor memperkukuh reputasi sebagai gergasi ragbi negara apabila menamatkan saingan Kumpulan B dengan rekod sempurna, menewaskan semua lawan yang ditentang.

Empat kemenangan daripada empat aksi sudah menempatkan skuad itu pada kedudukan teratas kumpulan sambil mengekalkan rekod tanpa kalah menjelang pusingan kalah mati.

Final Kejohanan Piala Agong 2025 dijadualkan berlangsung pada 26 Okt ini di UM Arena, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA



#PDRM #rekod tanpa kalah #pusingan kalah mati #Piala Agong 2025