KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul 26 trofi dalam tempoh 10 tahun di bawah kepimpinan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim didasari empat elemen.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata, pertama ia dipacu oleh kepimpinan dan visi yang jelas, disusuli pembangunan serta pencarian bakat pemain.

"Dua lagi elemen ialah sikap profesional dan kemudahan yang dimiliki oleh JDT serta sokongan komuniti dan peminat skuad Harimau Selatan itu," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

JDT melebarkan status dominasi Liga-M selepas mempertahankan Piala Malaysia setelah menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dalam aksi final di Bukit Jalil pada Jumaat.

Kemenangan itu menyaksikan JDT meletakkan penanda aras baharu apabila menjadi pasukan pertama memenangi empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam satu musim buat kali kedua berturut-turut.

Mengulas lanjut Hasnul berkata, pengurusan pasukan di bawah Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) memperlihatkan komitmen perancangan jangka panjang untuk sentiasa mengekal kejayaan JDT.

Beliau berkata, tumpuan juga diberikan kepada perancangan strategik, komunikasi yang jelas dan penerapan 'winning culture' dalam semua aspek pengurusan pasukan.

"Pasti kita tahu TMJ merupakan seorang 'visionary leaders' di mana beliau mempunyai matlamat yang jelas dan setiap perancangan yang ada perlu diterjemahkan bagi memastikan ia tercapai.

"TMJ memastikan kesemua komponen persiapan dan persediaan pasukan dibuat dengan rapi dan mendapat sokongan terbaik," katanya.

Menurut Dr Hasnul, JDT juga mempunyai program pembangunan dan pencarian bakat yang terbaik sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tambah beliau, komitmen JDT seimbang dalam mengenalpasti bakat tempatan dan pada masa sama juga memilih pemain berpengalaman yang secara strategiknya mereka digabungkan menjadi satu pasukan yang seimbang dan berdaya saing.

"JDT juga mempunyai program pembangunan belia di mana ia dilihat bukan sahaja mampu memperkukuhkan pasukan tetapi juga ianya menyumbang kepada keperluan ekosistem bola sepak di Malaysia.

"Pasukan negeri yang lain juga perlu mula melabur dalam program pembangunan belia bagi memastikan keseimbangan dan pencarian bakat terbaik dapat diwujudkan dalam kitaran persediaan pasukan," katanya.

Malah Dr Hasnul berkata, JDT dilihat sebagai sebuah pasukan yang profesional yang mempunyai kemudahan latihan, program sokongan sains sukan dan program latihan yang komprehensif.

Jelas beliau, kemudahan yang disediakan merupakan manifestasi pengurusan JDT yang ingin memastikan perkembangan yang holistik dapat disediakan dengan berkesan agar setiap pemain bersedia daripada segi fizikal dan spiritual.

"Tidak semua pasukan mempunyai kemudahan dan perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh JDT. Pasukan lain disarankan untuk melabur bagi menyediakan kemudahan latihan dan sokongan sains sukan terbaik bagi memastikan kejayaan boleh dicapai.

"Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan imej pasukan kepada satu standard yang lebih baik pada masa depan," katanya.

Dr Hasnul menambah, JDT juga berjaya menanamkan budaya sokongan dan kesetiaan yang kuat kepada pasukan dan ia merupakan tunjang kepada kekuatan skuad Harimau Selatan.

Katanya, pasukan itu dilihat telah berjaya mencipta hubungan simbiotik antara pasukan dan penyokongnya melalui pelbagai usaha melibatkan komuniti menerusi program kemasyarakatan, aktiviti bersama peminat dan penciptaan interaksi media sosial yang menyumbang kepada entiti serta kesetiaan yang kukuh.

"Memetik petikan kenyataan TMJ. 'Saya suka melihat rakyat saya bersatu. Bola sepak adalah faktor perpaduan, tidak mengira kaum atau agama'.

"Berdasarkan kenyataan ini dapat dijelaskan bagaimana hubungan penyokong, pasukan dan TMJ menjadi keutamaan serta secara tidak langsung mewujudkan 'fan base' yang kukuh dan setia.

"Dengan memupuk rasa keterikatan dan perpaduan, pasukan boleh mencipta suasana positif yang dapat membantu meningkatkan prestasi pemain di atas padang dan imej pasukan," katanya.

Sejak pembinaan skuad bermula 2013, JDT sudah meraih lapan Piala Sumbangsih, tiga kejuaraan Piala FA dan empat kali bergelar juara Piala Malaysia.

Malah lebih membanggakan skuad Harimau Selatan turut mengungguli pentas Asia apabila merangkul Piala AFC pada 2015.

Turut berada dalam kabinet JDT ialah kejuaraan 10 kali berturut-turut Liga Super. - Sinar Harian