SUKAN

Raja Muda Perlis santuni Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025

Astro Awani 19/12/2025 | 08:15 MYT
Tuanku Syed Faizuddin berkenan meluangkan masa menyaksikan beberapa acara melibatkan atlet negara pada Sukan SEA di Bangkok.
BANGKOK: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meluangkan masa mengadakan kunjungan ke Sekretariat Kontinjen Malaysia sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025, pada Khamis.

Baginda yang berada di Bangkok berangkat ke The Grand Fourwings Convention Hotel, Bang Kapi, diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan baginda berdua disambut Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali.

Turut mengiring ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbangtara Sukan SEA Thailand, Datuk M Rajasekaran.

Menurut perkongsian di laman Facebook MOM, pihaknya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis yang disifatkan memberi dorongan serta sokongan moral kepada seluruh anggota Kontinjen Malaysia yang beraksi di temasya dwitahunan itu.

Pada Rabu, baginda berdua bersama anakanda puteri turut berangkat menyaksikan beberapa acara melibatkan atlet negara termasuk sukan ping pong di Central Westgate, Nonthaburi, perlumbaan basikal di Velodrom Hua Mark yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas, serta perlawanan akhir bola keranjang wanita di Stadium Nimibutr.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan harapan agar pentas Sukan SEA dijadikan batu loncatan buat atlet negara untuk melangkah lebih jauh ke kejohanan lebih besar seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan seterusnya Olimpik.



#Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #Sukan SEA #Bangkok