KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi pasukan negara sehingga melonjak tujuh anak tangga dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dipengaruhi antaranya peranan penting tanpa disedari yang dimainkan kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penolong pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata tidak dinafikan keberhasilan peningkatan prestasi pasukan adalah disebabkan pemilihan dibuat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam melantik Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih skuad negara.

Namun di sebalik perubahan positif dibawa Pan Gon, Kamarul Ariffin berkata kualiti dipamerkan skuad Harimau Malaya ketika ini adalah kerana mutu barisan pemain itu sendiri dengan lebih 50 peratus yang mengisi kesebelasan utama sejak akhir ini merupakan pemain JDT.

"JDT melahirkan pemain yang baik kerana fasiliti mereka, kerana apa ditekankan TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) di kelab iaitu aspek profesionalisme, padang latihan, pusat latihan dan barisan kejurulatihan, semuanya bertaraf dunia.

"Sehinggakan serendah-rendah perkara seperti nutrien pun TMJ tentukan. Jadi semua (peningkatan) ini hasil kerja keras dan ketekunan TMJ, kenyataan ini tidak dapat disangkal," kata bekas pengurus skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan itu kepada Bernama, di sini.

Malaysia naik tujuh anak tangga daripada kedudukan 145 untuk berada di posisi 138 dalam ranking FIFA yang dikeluarkan bulan ini susulan dua kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Johor, bulan lepas.

Mengulas mengenai pengalaman pasukan negara mengadakan kem latihan pusat selama 12 hari di Johor, Kamarul Ariffin berkata berlatih di Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam, Johor Bahru dan bermain dua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri telah mencipta satu standard yang tinggi.

"Tidak pernah dalam karier saya sebagai pengurus dan penolong pengurus skuad kebangsaan merasai fasiliti bertaraf dunia (seperti di Johor)," katanya.

Justeru, Kamarul Ariffin berharap peranan dimainkan kelab JDT dalam 'membekalkan' pemain bermutu tinggi, selain kesudian TMJ membenarkan pasukan negara berlatih dan beraksi di Johor, dapat diteruskan bagi menjamin perkembangan positif pasukan kebangsaan.

"Tanpa TMJ skuad kebangsaan tidak akan mencapai kedudukan ranking ke-138 kerana jasa TMJ membenarkan skuad kebangsaan berlatih 12 hari di Johor dapat memberi lonjakan mata ranking dan TMJ adalah grand design untuk skuad kebangsaan di masa mendatang," katanya.

Grand design merujuk kepada apa-apa jenis rancangan tindakan yang disengajakan dan dalam istilah politik, ia membawa maksud strategi menyeluruh ataupun pelan jangka panjang.

-- BERNAMA