Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Ranking Harimau Malaya terus meningkat, kini di tangga ke-116 dunia

Bernama 20/11/2025 | 01:50 MYT
Skuad bimbingan Peter Cklamovski itu melonjak dua anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-116, berbanding tempat ke-118 pada bulan lepas. - Foto FAM
KUALA LUMPUR: Kemelut luar padang yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjejaskan momentum skuad Harimau Malaya, apabila terus mencatat peningkatan dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam kemas kini terbaharu yang dikeluarkan lewat malam tadi, skuad bimbingan Peter Cklamovski itu melonjak dua anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-116, berbanding tempat ke-118 pada bulan lepas.

Sebagai rekod, Malaysia berada di kedudukan ke-131 pada April lalu sebelum menunjukkan peningkatan konsisten sehingga ke posisi semasa.

Sementara itu, Thailand kekal sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara di ranking ke-95, diikuti Vietnam (110), Indonesia (122), Filipina (136) dan Singapura (151).

Jepun terus menguasai kedudukan Asia di ranking ke-18 dunia, diikuti Iran (20) dan Korea Selatan (22).

Di peringkat global, Sepanyol mengekalkan status selaku pasukan nombor satu dunia, diikuti Argentina di tempat kedua dan Perancis ketiga.

-- BERNAMA






#ranking FIFA #harimau Malaya #FAM #Peter Cklamovski