MARCUS Rashford mendedahkan sepakan penalti yang acap kali menyebelahi Manchester United didorong saranan Jose Mourinho ketika bertugas sebagai pengurus.

United meraih sepakan penalti yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini berbanding  seteru mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, The Red Devils telah mencatat 27 sepakan penalti dalam tempoh dua tahun, iaitu jumlah kesembilan tertinggi yang direkodkan oleh mana-mana pengurus EPL bersama sebuah kelab.

Ia diperoleh dalam 76 perlawanan -- dua pengurus yang mempunyai pencapaian serupa ialah Roberto Mancini dan Mauricio Pochettino, tetapi masing-masing memerlukan lebih banyak perlawanan (133 dan 202).

Isu itu dibangkitkan oleh pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, baru-baru ini yang mendakwa United memenanginya lebih banyak dalam tempoh dua tahun berbanding pasukan asuhannya sepanjang lima setengah tahun terakhir -- walaupun ia tidak tepat memandangkan pengurus Jerman tersebut telah mencatat 30 sepakan penalti, nasib tetap kelihatan menurus kepada anak buah Solskjaer berkenaan.

Klopp telah mengemudi The Reds dalam 123 perlawanan lebih banyak daripada Solskjaer, yang mempunyai rekod dengan baik berbanding Alex Ferguson (59 sepakan penalti dalam 810 perlawanan) sementara Arsene Wenger (80 dalam 828).

Ramai pengurus, pakar dan peminat menjelaskan sebab mengapa United kerap memenangi sepakan penalti tetapi bagi Rashford, ia berpunca daripada kecenderungan mereka membuat gelecekan di kawasan bahaya.

Bercakap kepada Persatuan Penulis Bola Sepak, Rashford menjelaskan: "Cubaan memenangi sepakan penalti ketika dalam latihan lebih teruk -- kami berdebat, berteriak kepada siapa saja yang menjadi pengadil, jadi anda boleh bayangkan.

"Sebagai penyerang, kami ingin mencetak jaringan. Sama ada anda membuat larian atau menggelecek bola, jika anda dapat melihat terjahan yang datang, anda tidak mahu disekat memandangkan sedang mengintai peluang untuk menyumbat gol, jadi tidak mungkin anda akan membiarkan seseorang merampas bola daripada anda.

"Jadi, disebabkan keinginan tinggi kami untuk meledak jaringan sementara pasukan lawan pula ingin mempertahankan gawang mereka, maka penalti boleh berlaku.

"Tetapi ada kalanya kami tidak meraihnya. Saya masih ingat lagi ketika Jose menjadi pengurus, ada lima atau enam kejadian yang saya ingat kerana saya sepatutnya merebahkan badan dan Jose akhirnya berpesan kepada saya, 'jika anda tidak pandai melakukannya maka anda tidak akan memenanginya.'

"Selepas itu beberapa kali situasi mula berpihak kepada kami -- daripada segi pembangunan, anda harus mempelajarinya dan memahaminya."