SPORTS
Razlan Joffri tunjuk prestasi baik kendali final Piala Malaysia - Sivasundaram
Razlan Joffri (dua dari kanan) ketika mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Laporan Penilai Pengadil menyimpulkan bahawa pengadil Razlan Joffri Ali menunjukkan prestasi yang baik, ketika mengendalikan final Piala Malaysia 2024/2025 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Pengadil Razlan Joffri Ali menunjukkan prestasi yang baik dalam final Piala Malaysia 2024/2025, dengan laporan Penilai Pengadil menyatakan bahawa keputusan yang dibuat tidak mempengaruhi hasil perlawanan.
- Semua insiden utama telah disemak dengan teliti oleh VAR, dan pematuhan terhadap 'Protokol VAR' dinilai sangat cemerlang, termasuk keputusan kad kuning kedua yang diberikan kepada pemain dari kedua-dua pasukan.
- JDT menewaskan Sri Pahang 2-1 untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia ketiga berturut-turut, melengkapkan kejayaan triple treble mereka, menjadikan skuad Harimau Selatan sebagai satu-satunya pasukan mencapai tahap tersebut dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram berkata selain laporan itu, Unit Pengadil dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM turut menjalankan analisis terhadap prestasi serta keputusan yang dibuat Razlan Joffri, sepanjang aksi berintensiti tinggi itu.
"Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengendalian perlawanan oleh Razlan telah menunjukkan satu prestasi yang baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.
"Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga telah membuat analisis perlawanan dan mendapati keputusan kad kuning kedua (perintah keluar padang), yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat mengikut Undang-Undang Permainan FIFA 2024/2025," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata semua insiden utama dalam perlawanan itu telah disemak dengan teliti oleh pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) dengan tahap pematuhan 'Protokol VAR' dinilai sebagai sangat cemerlang.
Beliau berkata setiap key match incident dalam perlawanan itu juga telah diadili dengan tepat, selaras dengan Undang-Undang Permainan FIFA.
"FAM sangat komited terhadap mutu prestasi pengadil dan tidak pernah berkompromi dalam hal ini," katanya.
Pada final Sabtu lepas, JDT bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sri Pahang 2-1 sekali gus merangkul kejuaraan Piala Malaysia ketiga berturut-turut.
Namun, perlawanan itu dicemari dengan dua layangan kad merah masing-masing kepada penyerang Sri Pahang Sergio Aguero dan pertahanan JDT Park Jun Heong.
Kemenangan JDT melengkapkan kejayaan triple treble skuad Harimau Selatan, menjadikan mereka satu-satunya pasukan mencapai tahap tersebut selepas Kedah mencatatkan double treble pada musim 2007 dan 2008.
Untuk rekod, triple treble merujuk kepada kejayaan memenangi tiga kejuaraan utama bola sepak Malaysia, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim sebanyak tiga tahun berturut-turut.
-- BERNAMA