SPORTS
The Reds kembali memuncak: Liverpool rampas kejuaraan Liga Perdana ke-20!
Kemenangan besar 5-1 ke atas Tottenham Hotspur pada hari Ahad lalu telah mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga. - Foto Liverpool FC
LIVERPOOL FC secara rasmi menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris 2024-25, meraih gelaran liga teratas England untuk kali ke-20 dalam sejarah kelab.
Kemenangan besar 5-1 ke atas Tottenham Hotspur pada hari Ahad lalu telah mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga, sekaligus memastikan kejuaraan musim ini.
Dengan pencapaian ini, Liverpool menambah musim 2024-25 ke dalam senarai kejayaan kejuaraan mereka, sekali gus mengukuhkan lagi status mereka sebagai salah satu kelab terhebat dalam bola sepak Inggeris.
Arne Slot, ketua jurulatih baru Liverpool, berjaya membimbing pasukannya meraih kejayaan besar ini pada musim pertamanya.
Sepanjang musim sulungnya, Slot membawa Liverpool mencatatkan 25 kemenangan, tujuh seri, dan hanya dua kekalahan dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini.
Kejayaan musim ini menandakan kejuaraan kedua kelab di era Liga Perdana Inggeris selepas kejayaan pada musim 2019-20.
Lebih membanggakan, gelaran ini menjadikan Liverpool setaraf dengan Manchester United dari segi jumlah kejuaraan Liga Perdana Inggeris, masing-masing dengan 20 gelaran.
Selain itu, kejayaan ini juga melengkapkan trofi utama ke-52 dalam sejarah pasukan lelaki Liverpool, dengan ini menjadi trofi kelapan yang dimenangi dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.
Liverpool dijangka akan menerima trofi Liga Perdana Inggeris secara rasmi pada hari terakhir musim ini, apabila mereka melayani kunjungan Crystal Palace di Anfield pada Ahad, 25 Mei.
The Reds terkenal dengan falsafah "You'll Never Walk Alone", satu moto yang menjadi pembakar semangat seluruh komuniti Merseyside dan peminat mereka di seluruh dunia.
Kejuaraan musim ini bukan sekadar tentang trofi, tetapi tentang legasi, tentang kesinambungan perjuangan yang membuktikan bahawa Liverpool sentiasa bangkit di saat ramai mempertikaikan kemampuan mereka.