KETUA jurulatih Republik Korea, Jurgen Klinsmann, telah dipecat selepas hanya bersama pasukan selama 12 bulan.

Pengendali kelahiran Jerman berusia 59 tahun itu dilantik pada Februari tahun lalu, dengan kontraknya sepatutnya sehingga saingan Piala Dunia 2026.

Tetapi Korea Selatan tersingkir daripada separuh akhir Piala Asia awal bulan ini, melanjutkan penantian 64 tahun untuk merangkul kejuaraan.

Terdapat juga laporan mengenai insiden pergaduhan antara pemain terkemuka.

Kapten Korea, Son Heung-min, dilaporkan cedera di bahagian jari semasa pertikaian dengan rakan sepasukan sebelum mereka dikejutkan dengan kekalahan 2-0 oleh Jordan minggu lalu.

Insiden itu berlaku pada majlis makan malam pasukan, menurut Persatuan Bola Sepak Korea (KFA).

Susulan kekalahan kepada Jordan, yang berada di kedudukan 64 di bawah Korea di tangga ke-87 dunia, Klinsmann berkata beliau tidak bercadang untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun semalam, pegawai bola sepak berkata bekas penyerang Tottenham dan pemenang Piala Dunia Jerman itu sudah kehabisan masa untuk mengubah keadaan.

"Kami telah mencapai kata sepakat bahawa Klinsmann tidak boleh menggunakan kepimpinannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan atas pelbagai sebab dan perubahan kepimpinan adalah perlu," kata Hwangbo Kwan dari KFA.

Klinsmann tidak memberikan tanggapan yang positif dalam kalangan peminat sejak mengambil alih pasukan kerana tidak meluangkan masa di Korea, sebaliknya lebih suka kekal berpangkalan di California.

Dalam tempoh enam bulan pertamanya bersama pasukan, sebuah akhbar Seoul mengira Klinsmann hanya menghabiskan 67 hari di negara itu, berbeza dengan jurulatih asing terdahulu yang semuanya berpangkalan di ibu kota.

Dia membawa Jerman ke tempat ketiga pada Piala Dunia 2006 dan Amerika Syarikat ke peringkat kalah mati kejohanan 2014, tetapi peranannya sebelum ini sebelum Korea Selatan adalah selama 10 minggu di kelab Bundesliga, Hertha BSC, empat tahun lalu.

Pasukan Korea Selatan yang dibarisi pemain bertaraf bintang -- termasuk Son, penyerang Wolves, Hwang Hee-chan dan Paris St-Germain, Lee Kang-in -- merupakan pasukan pilihan untuk menjulang Piala Asia tetapi mereka gagal mempamerkan sebarang percikan kreatif semasa kejohanan.

Mereka hanya memenangi satu perlawanan dalam masa biasa dan pada pusingan kedua, mereka berada 90 saat daripada penyingkiran sebelum gol penyamaan minit ke-99 menentang Arab Saudi dan kemudian memenangi penentuan sepakan penalti.

Pada suku akhir, mereka menyamakan kedudukan menentang Australia pada minit ke-96 sebelum Son menjaringkan sepakan percuma dalam masa tambahan untuk menempah ke separuh akhir.

Bagaimanapun, mereka tidak mencatatkan satu pun percuban tepat ke sasaran pada separuh akhir dan secara mengejut tewas kepada Jordan, yang ditewaskan pada perlawanan akhir oleh tuan rumah, Qatar.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro