Penampilan atlet gimnastik wanita Mexico yang beraksi di Kejohanan Olimpik Rio 2016, mencetuskan perbualan hangat di kalangan netizen, susulan susuk tubuhnya yang sedikit berisi, yang dikategorikan sebagai agak gempal.

Alexa Moreno, 22, yang beraksi bagi saingan peringkat saringan acara gimnastik, melengkapkan semua rutin bagi acara yang disertainya, dengan mendapat tempat ke 31 pada hari kedua temasya ini.

Menurut laporan Mail Online, berat Moreno cuma 44.9 kilogram dan berketinggian 149sm, yang dikategorikan sebagai pada jajaran akhir bagi tahap sihat tubuh badan.

Lantaran itu, Moreno dilihat agak gempal jika dibandingkan dengan peserta lain.


Dek kerana susuk tubuhnya itu, ada netizen yang menyamakan Moreno dengan rupa bentuk babi. Ada juga yang menyarankan agar atlet itu, mengamalkan diet terlebih dahulu, sebelum tampil ke khalayak ramai untuk menyertai acara ini.

Begitupun, selepas mendapat kecaman ramai, beberapa tweet mempersendakan Moreno itu dipadamkan.

Netizen yang menyokong Moreno, menyifatkan, inilah yang dianggap sebagai perjuangan seorang atlet. Yang berjuang atas nama dan semangat kesukanan. Ada juga yang sinis, dengan mempersoalkan, jika anda kurus sekalipun, apa sumbangan anda kepada negara?

Moreno yang ditemubual stesen tv CCTV memberitahu, dalam acara gimnastik yang diperlukan adalah, fleksibiliti, koordinasi, kekuatan dan daya halaju badan. Jadi susuk tubuh bukanlah ukurannya.