Rio 2016: Chong Wei bawa pulang pingat perak untuk negara

Astro Awani
Ogos 20, 2016 14:21 MYT
Chong Wei berjuang habis-habisan menentang Chen Long dalam perlawanan akhir. - Foto reuters
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membawa pulang pingat perak untuk Malaysia setelah berhempas-pulas mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Olimpik Rio menentang pencabar dari China, Chen Long.
Perlawanan di Riocentro Pavilion itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Chen Long dengan straight set 21-18, 21-18.
Pada set pertama, Chong Wei berhati-hati menyusun rentaknya namun masih tidak dapat menjarakkan kiraan mata daripada Chen Long. Kedua-duanya saling mengekori hingga menghampiri mata akhir, namun Chen Long memenanginya dengan 21-18.
Set kedua terus menyaksikan Chong Wei lebih agresif memburu mata, namun kemaraannya disekat Chen Long hingga ke mata ke-18.
Dengan ini, skuad badminton negara menyumbangkan tiga pingat perak kepada Malaysia melalui acara yang diwakili Chong Wei ini, selain acara beregu lelaki dan beregu campuran.
#Chen Long #Lee Chong Wei #Olimpik Rio #Rio 2016