Rio 2016: Pandelela, Nur Dhabitah layak ke final acara terjun 10m

Astro Awani
Ogos 18, 2016 15:00 MYT
Aksi Nur Dhabitah sewaktu peringkat separuh akhir acara terjun 10m perseorangan wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk. - Foto AFP
Penerjun sensasi negara Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri layak ke peringkat akhir acara terjun 10 meter perseorangan wanita selepas mempamerkan aksi terbaik mereka di Pusat Akuatik Maria Lenk, Barra Da Tijuca pada Khamis.
Selesai lima disiplin, Pandelela mengumpul 336.95 mata untuk berada di kedudukan keenam, sementara Nur Dhabitah berada di kedudukan ke-11 dengan mengumpul 307.65 mata keseluruhan.
Kedua-dua penerjun negara itu bakal bersaing bersama 10 lagi peserta lain di peringkat akhir, yang bakal berlangsung pada jam 3 pagi waktu Malaysia nanti (Jumaat).
"Saya rasa gembira dapat ke peringkat akhir, dan saya akan buat yang lebih baik.
"Setiap peserta akhir dalam acara ini adalah pencabar utama saya, maka saya tidak akan pandang rendah pada mereka," ujar Pandelela kepada wartawan Astro Arena sejurus selesai acara peringkat separuh akhir berkenaan.
Berdasarkan pengalaman, Pandelela mampu menempatkan diri dalam kedudukan 10 teratas, manakala bagi Nur Dhabitah, ia adalah sesuatu yang di luar jangkaannya.
#10m perseorangan wanita #acara terjun #Nur Dhabitah Sabri #Olimpik Rio #Pandelela Rinong #penerjun negara #Rio 2016