ROGER Federer meluahkan keinginannya untuk melakukan penampilan semula dalam Jelajah ATP tahun depan selepas tidak pernah beraksi sejak tewas dalam Kejohanan Wimbledon 2021.

Pemenang 20 kali gelaran grand slam itu terpaksa berehat panjang susulan menjalani pembedahan lutut tahun lalu.

Pada usia 40 tahun, terdapat persoalan sama ada bintang tenis Switzerland itu sudah mahu menggantung raket atau tidak selepas memperoleh antara karier paling berjaya sepanjang era terbuka.

Bagaimanapun, Federer kini mengesahkan keinginannya untuk kembali beraksi tahun depan dan akan bergandingan dengan Rafael Nadal dalam Piala Laver di London sebelum menyertai Kejohanan Dalam Dewan Switzerland di tempat lahirnya, Basel.

"Benar, sudah tentu," katanya kepada media Switzerland, Tages-Anzeiger, tentang harapannya untuk kembali dalam saingan Jelajah ATP tahun depan.

"Bagaimana dan di mana, saya masih belum tahu tetapi ideanya seperti itu.

"Saya masih belum ada perancangan selepas Piala Laver dan Basel. Selepas Basel, musim akan tamat juga. Adalah penting untuk saya kembali cergas supaya saya dapat berlatih dengan sepenuhnya.

"Selepas saya dapat melakukannya, saya boleh memilih kejohanan mana yang akan saya sertai dan di mana.

"Piala Laver merupakan permulaan yang baik, saya tidak perlu bermain lima perlawanan dalam enam hari.

"Saya akan perlu melakukannya di Basel tetapi saya berharap akan sampai ke tahap itu, saya tidak terlalu jauh," katanya.