MANCHESTER United mengesahkan bahawa Cristiano Ronaldo akan memakai jersi nombor 7 bagi musim 2021-22.
Ronaldo, yang memecahkan rekod jaringan terbanyak peringkat antarabangsa milik Ali Daei ketika menjaringkan dua gol Portugal ke atas Republik Ireland semalam, kembali menyertai United daripada Juventus pada penghujung jendela perpindahan lalu.
Bintang penyerang itu, yang turut diberikan pelepasan daripada tugasan antarabangsa selepas perlawanan semalam, pernah memakai nombor ikonik itu dalam tempoh pertamanya di Old Trafford yang berakhir pada 2009.
Dia kemudian memakai jersi nombor 9 dalam musim pertamanya di Real Madrid sebelum kembali menyarung jersi nombor 7 selepas legenda kelab itu, Raul, berpindah menyertai Schalke setahun kemudian.
Sejak itu, Ronaldo hanya memakai jersi nombor 7, baik bersama Juventus mahupun skuad kebangsaan Portugal.