Ronaldo kumpul pendapatan RM1.31 bilion, Lamine Yamal pecah rekod remaja jutawan bola sepak

Ronaldo (kiri) bukan sahaja atlet paling kaya dalam sukan bola sepak, malah antara ikon global paling berpengaruh di dunia sukan moden, sementara Yamal memperkukuh jenamanya dengan penajaan bersama jenama antarabangsa. - Gambar fail Reuters
DOHA: Pemain bola sepak masyhur, Cristiano Ronaldo terus membuktikan pengaruhnya belum pudar apabila mengekalkan takhta sebagai pemain bola sepak berpendapatan tertinggi dunia bagi tahun 2025, menurut laporan majalah kewangan ternama Forbes.
Bintang Portugal berusia 40 tahun itu mengumpul pendapatan keseluruhan AS$280 juta (RM1.31 bilion) — menjadikannya bukan sahaja atlet paling kaya dalam sukan bola sepak, malah antara ikon global paling berpengaruh di dunia sukan moden.
Pendapatan luar biasa itu datang selepas beliau menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, selain rangkaian penajaan dan perniagaan peribadi yang terus berkembang.
Ronaldo, yang kini semakin menghampiri rekod 1,000 gol sepanjang karier, juga mengekalkan statusnya sebagai pemain bola sepak pertama bergelar bilionair.Di tempat kedua ialah Lionel Messi (Inter Miami) dengan pendapatan AS$130 juta (RM610 juta) hasil gabungan gaji dan penajaan daripada jenama seperti Adidas, Lay’s dan Mastercard.
Messi turut memperkukuh empayar perniagaannya selepas melancarkan minuman sukan sendiri tahun lalu.
Karim Benzema (Al-Ittihad) berada di tempat ketiga dengan AS$104 juta (RM488 juta), hasil perpindahan lumayan ke Liga Pro Saudi.
Sementara itu, bintang muda Kylian Mbappe (Real Madrid) dan Erling Haaland (Manchester City) masing-masing di tempat keempat dan kelima - dua nama yang dijangka mendominasi pentas bola sepak dunia pada dekad akan datang.
Namun, kejutan terbesar datang daripada Lamine Yamal, pemain sayap sensasi Barcelona yang muncul dalam 10 teratas Forbes pada usia hanya 18 tahun.
Yamal meraih pendapatan AS$43 juta (RM202 juta) selepas musim menakjubkan bersama Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol - menjaringkan 18 gol, mencipta 25 bantuan jaringan serta membantu negaranya menjuarai Euro 2024.
Bintang muda itu turut memperkukuh jenamanya dengan penajaan bersama Adidas, Konami, Powerade dan terbaharu Beats by Dre, selain menandatangani kontrak baharu bersama Barcelona hingga 2031.
Lebih bermakna, Yamal kini menyarung jersi nombor 10, nombor keramat yang pernah menjadi milik Messi - simbol era baharu di Nou Camp.
Berikut senarai 10 pemain bola sepak berpendapatan tertinggi dunia 2025 (Forbes):
* Cristiano Ronaldo (Al-Nassr) – AS$280 juta (RM1.31 bilion)
* Lionel Messi (Inter Miami) – AS$130 juta (RM610 juta)
* Karim Benzema (Al-Ittihad) – AS$104 juta (RM488 juta)
* Kylian Mbappe (Real Madrid) – AS$95 juta (RM446 juta)
* Erling Haaland (Manchester City) – AS$80 juta (RM376 juta)
* Vinicius Jr (Real Madrid) – AS$60 juta (RM282 juta)
* Mohamed Salah (Liverpool) – AS$55 juta (RM259 juta)
* Sadio Mane (Al-Nassr) – AS$54 juta (RM254 juta)
* Jude Bellingham (Real Madrid) – AS$44 juta (RM207 juta)
* Lamine Yamal (Barcelona) – AS$43 juta (RM202 juta)
- Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami