CRISTIANO Ronaldo memohon maaf selepas dia kelihatan meremukkan telefon seorang penyokong susulan kekalahan 1-0 Manchester United di Everton semalam.

Gol Anthony Gordon pada separuh masa pertama menyebabkan United mengalami kekalahan kedua berturut-turut di tempat lawan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak Januari 2020.

Ia merupakan tamparan besar kepada harapan Red Devils untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL), dengan kemenangan Tottenham ke atas Aston Villa menyaksikan pasukan Ralf Rangnick ketinggalan enam mata daripada empat teratas.

Selepas wisel penamat, satu video muncul di media sosial yang mendakwa menunjukkan Ronaldo memecahkan telefon penyokong Everton dengan melemparkannya ke lantai. 

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu kemudiannya menggunakan Instagram untuk menjelaskan tindakannya dan menawarkan untuk menjadi tuan rumah kepada peminat di Old Trafford 'sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan'.

"Tidak mudah untuk menangani emosi dalam saat-saat sukar seperti yang kita hadapi," tulis Ronaldo.

“Namun begitu, kami perlu sentiasa menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh kepada semua anak muda yang meminati permainan cantik itu.

"Saya ingin memohon maaf atas keterlaluan saya dan, jika boleh, saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan."

United kini hanya menang dalam lapan daripada 17 perlawanan liga di bawah kendalian Rangnick, dengan nisbah kemenangan 47 peratus pemain Jerman itu adalah yang paling teruk di bawah mana-mana pengurus dalam pertandingan itu.