[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
SUKAN

Ronaldo tandatangan kontrak termahal dalam sejarah sukan

Sinar Harian 27/06/2025 | 04:30 MYT
Sumber dalam Liga Pro Saudi mendedahkan, Ronaldo turut diberikan pegangan saham sebanyak 15 peratus dalam kelab Al-Nassr, bernilai sekitar £33 juta. - Foto Instagram Cristiano Ronaldo
BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan dengan perjanjian baharu bernilai sekitar £492 juta (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun.

Ringkasan AI
  • Kontrak Termahal Dalam Sejarah Sukan - Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak dua tahun bersama Al-Nassr bernilai lebih 492 juta pound (RM2.86 bilion), termasuk gaji harian, bonus, dan insentif tambahan.
  • Faedah Mewah & Pegangan Saham - Selain gaji, Ronaldo menerima kemudahan mewah seperti jet peribadi, 16 kakitangan peribadi, pegangan saham 15% dalam kelab, dan peluang penajaan bernilai tinggi.
  • Aset Penting Liga Pro Saudi - Ronaldo dianggap aset terpenting Liga Pro Saudi dan duta global Al-Nassr, dengan kehadirannya membantu menarik penaja, pemain, dan sorotan antarabangsa ke liga tersebut.

Legenda Portugal berusia 40 tahun itu menikmati kenaikan gaji untuk kekal bersama Al-Nassr sehingga usia 42 tahun, dengan gaji asas mencecah £488,000 (RM2.83 juta) sehari.
Menurut laporan SunSport, bekas penyerang Manchester United itu turut menerima pelbagai keistimewaan untuk menjadi ‘duta impian’ bagi Arab Saudi yang kaya-raya, menjadikan jumlah pendapatannya melebihi setengah bilion pound sepanjang dua tahun kontrak tersebut.
Selain gaji tahunan sebanyak £178 juta (RM1.03 bilion), Ronaldo turut menerima bonus menandatangani kontrak bernilai £24.5 juta (RM142.26 juta) yang akan meningkat kepada £38 juta (RM220.64 juta) jika beliau mengaktifkan tahun kedua dalam kontrak itu.
Sumber dalam Liga Pro Saudi mendedahkan, Ronaldo turut diberikan pegangan saham sebanyak 15 peratus dalam kelab Al-Nassr, bernilai sekitar £33 juta (RM191 juta).
Beliau juga berpeluang menerima bonus sebanyak £4 juta (RM23 juta) jika memenangi Kasut Emas dan tambahan £8 juta (RM47 juta) sekiranya Al-Nassr menjuarai liga menjadikan jumlah keseluruhan yang bakal diraih melebihi £500 juta (RM2.9 bilion).
Di luar padang, kehidupan Ronaldo sekeluarga turut dijaga dengan penuh kemewahan.
Sebanyak 16 orang kakitangan akan bekerja sepenuh masa untuk beliau - termasuk tiga pemandu, empat pembantu rumah, dua tukang masak, tiga tukang kebun dan empat pengawal keselamatan - semuanya ditanggung oleh Al-Nassr dengan kos sekitar £1.4 juta (RM8.1 juta).
Selain itu, beliau turut diberikan kemudahan jet peribadi serta peluang penajaan bersama syarikat-syarikat di Arab Saudi yang dianggarkan mencecah £60 juta (RM348 juta).
Menurut sumber, pihak pengurusan liga sangat bimbang jika bekas pemain Real Madrid itu meninggalkan kelab, lebih-lebih lagi ketika jendela perpindahan lalu yang menyaksikan cubaan beberapa kelab untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk ke Piala Dunia Kelab.
Namun, selepas Ronaldo menandatangani kontrak baharu itu, mereka menarik nafas lega.
“Pemilik kelab tahu bahawa Ronaldo ialah wajah utama liga. Dialah individu yang menarik perhatian ramai bintang dan sorotan media. Mereka perlu mengekalkannya walau apa pun,” kata sumber itu kepada SunSport.
“Ronaldo sedar akan perkara itu, dan mereka perlu ‘melimpahkannya dengan emas’ untuk memastikan dia kekal, dengan menawarkan lebih banyak wang, faedah dan bonus berbanding perjanjian terdahulu. Bagi mereka, dia adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.
“Cristiano memperoleh hampir segala yang dimahukannya, termasuk pegangan pemilikan kerana mereka mahu dia kekal sebagai pengaruh besar dalam menarik pemain, penaja dan perhatian global walaupun selepas bersara.
“Kehadirannya sangat penting, bukan sahaja untuk Al-Nassr, tetapi untuk keseluruhan Liga Pro Saudi. Tanpa dia, ia akan menjadi satu tamparan hebat buat kami. Sekarang, dia adalah aset termahal kami dan kami perlu menjaganya sepenuhnya, walaupun ia memerlukan bayaran yang tinggi.”
“Pengaruh dan kehadirannya amat bernilai. Al-Nassr sedar bahawa Ronaldo ialah duta terbaik mereka individu yang menjadikan nama kelab itu dikenali di peringkat antarabangsa serta membuka banyak peluang perniagaan dalam dan luar Arab Saudi," kata sumber itu. - Sinar Harian
#Cristiano Ronaldo #Al Nassr #kontrak termahal #gaji Ronaldo