SUKAN
RTG gembira dengan penyertaan Sze Fei-Nur Izzuddin - Stuart
Stuart berkata, dengan Sukan Olimpik LA28 yang masih lama lagi, atlet boleh menggunakan masa sepenuhnya dengan khidmat RTG. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Program Road To Gold (RTG) berasa gembira kerana mempunyai empat pemain badminton profesional di bawah projek itu, kata penyelarasnya, Datuk Stuart Ramalingam.
Walaupun rundingan mengambil masa yang agak lama, Stuart berkata, beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berpuas hati dengan khidmat yang RTG tawarkan untuk meningkatkan prestasi mereka.
"Saya rasa ini petanda positif bahawa program berkenaan diterima dengan baik oleh semua pihak. Fokus program ini untuk memberi sokongan prestasi dan saya percaya itulah yang akan diterima oleh atlet, termasuk dalam kitaran RTG sebelum ini.
"Ramai jurulatih dan atlet yang saya temui tidak mempunyai rungutan mengenai sistem sokongan RTG. Ia terpulang kepada atlet pada akhirnya, kami hanya menyediakan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada program 'Spotlight - Gangguan Seksual dalam Sukan', di sini, pada Jumaat.
Stuart berkata, dengan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang masih lama lagi, atlet boleh menggunakan masa sepenuhnya dengan khidmat RTG.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Duta Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker.
Pada Khamis, Hannah mengumumkan bahawa Sze Fei-Nur Izzuddin dan Soon Huat-Shevon mengikat komitmen mereka kepada RTG untuk kitaran 2025.
Minggu lepas, lapan pemain badminton termasuk beregu nombor dua dunia lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun; beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diumumkan menyertai RTG.
Atlet lain yang turut menyertai program ini antaranya jaguh angkat berat, Mohd Aniq Kasdan; pelumba trek, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta pemain skuasy, S. Sivasangari.
Trio memanah wanita recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Fazil dan pemain skuasy, Ng Eain Yow turut menyertai program Fast Track RTG.
-- BERNAMA