Sabah Kids FC sasar pentas antarabangsa, serlah potensi bakat muda bola sepak

Sabah Kids FC memiliki 16 pemain tetap ketika ini, dan semakin mengorak langkah ke pentas lebih tinggi termasuk kejohanan antarabangsa. -Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Usaha melahirkan generasi pemain bola sepak muda berkualiti di Sabah sedang giat diperkasakan termasuk melalui pasukan pembangunan akar umbi, Sabah Kids FC.
Ringkasan AI
- Sabah Kids FC ditubuhkan untuk membuka laluan kepada pemain muda Sabah ke sekolah sukan berprestasi tinggi dan menjadikan bola sepak sebagai kerjaya masa depan.
- Pasukan akan sertai Kejohanan Maxim Elite Langkawi 2025 dan menyasarkan penyertaan luar negara pada 2026 seperti Garuda Cup di Indonesia dan Filipina.
- Program pembangunan akar umbi bola sepak Sabah semakin berkembang dengan sokongan ibu bapa, kelab dan akademi aktif serta keperluan penambahbaikan kemudahan latihan dan dana.
"Sabah Kids FC dibentuk untuk mereka ini 'dibeli', ataupun ditempatkan di sekolah-sekolah sukan seperti itu.
"Jadi ia ada hubungan dengan masa depan mereka, dan tidak terpisah dengan akademik. Maksudnya, di samping mereka main bola, pada masa sama potensi sukan bola sepak itu ada tempatnya sebagai kerjaya pada masa depan.
"Maksudnya dalam erti kata lain, mereka tidak sekadar main bola tetapi ada tempat di sekolah-sekolah-sukan," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.
Mazhair menambah Sabah Kids FC akan turut menyertai Kejohanan Maxim Elite Langkawi 2025 di Langkawi, Kedah pada 31 Oktober hingga 2 November ini.
Penyertaan Sabah Kids FC dalam kejohanan tersebut melibatkan kategori bawah 11 tahun (U11), yang dijangka menghimpunkan pasukan-pasukan pilihan dari beberapa negara ASEAN.
Mengulas mengenai persiapan, Mazhair berkata tumpuan utama pasukan adalah memberi pendedahan dan pengalaman kompetitif kepada pemain muda, selain meletakkan sasaran prestasi yang realistik.
"Untuk Sabah Kids ini memang kita kumpul untuk mewakili atau beraksi di mana-mana pertandingan yang berprestij.
"Bagi Maxim Elite Langkawi 2025, penyertaan dipilih berdasarkan prestasi semasa pasukan," jelasnya.
Bagi tahun 2026, Mazhair berkata Sabah FC Kids menyasarkan penyertaan ke kejohanan luar negara seperti Garuda Cup di Indonesia dan Filipina, selaras dengan 'roadmap' pasukan untuk mengangkat bakat muda Sabah ke peringkat lebih tinggi.
Mazhair turut menekankan keperluan menambah baik kemudahan latihan dan sumber kewangan bagi membolehkan bakat-bakat muda dalam bidang sukan dapat diangkat ke mata dunia.
Sementara itu, jurulatih Sabah Kids FC, Mohd Shahrizal Wahimin berkata, program pembangunan akar umbi bola sepak di Sabah kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan, seiring dengan pertumbuhan pesat kelab dan akademi bagi kategori bawah umur 12 tahun (U12) di seluruh negeri itu.
"Sekarang ini, di mana-mana sahaja mereka boleh berlatih. Banyak kelab dan akademi yang aktif menganjurkan program serta kejohanan. Peluang untuk pemain muda di Sabah sangat luas," katanya.
Dalam pada itu, salah seorang ibu bapa, Rizal Ekram Sayong berkata dia memberi sokongan penuh kepada minat anaknya dalam sukan tersebut, seiring dengan pembangunan bakat bola sepak di negeri itu.
"Alhamdulillah pada umur lapan tahun, saya nampak anak saya berminat untuk bermain bola sepak, dan saya terfikir menghantarnya menyertai kelab ini. Alhamdulillah, sehingga sekarang, prestasinya semakin lama semakin meningkat
"Insya-Allah memandangkan sekarang ini sukan bola sepak di Sabah amat memberangsangkan dan mungkin bakat-bakat muda ini boleh menjadi salah seorang wakil pemain Sabah," ujar penolong eksekutif itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami