Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
SUKAN

Saka pecah rekod 87 tahun

Sinar Harian 11/10/2025 | 00:20 MYT
Saka menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika perlawanan persahabatan antara England dan Wales di Stadium Wembley, London, 9 Okt 2025. (Foto AP)
BUKAYO Saka mencipta sejarah apabila muncul pemain Arsenal paling prolifik bersama skuad England selepas menjaringkan gol ke-13 ketika membantu The Three Lions menewaskan Wales 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley pada awal pagi Jumaat.

Gol menarik pada minit ke-20 itu memadam rekod legenda Arsenal, Cliff Bastin yang mencatat 12 gol untuk England sejak 1938.

Pemain berusia 23 tahun itu kini mengumpul 45 kaps sejak debut pada 2020 dan menjadi antara tonggak utama skuad kendalian Thomas Tuchel menjelang Piala Dunia 2026.

“Musim ini saya bermula dengan kecederaan hamstring, tapi kini semakin baik dan kembali menemui sentuhan.

“Saya gembira menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut,” kata Saka.

Dua lagi gol England dijaringkan Morgan Rogers dan Ollie Watkins dalam tempoh 20 minit pertama.

Bagaimanapun, suasana di Wembley yang sepatutnya bergema dengan sorakan bertukar hambar apabila tempo permainan menurun pada separuh masa kedua.

Perkara itu menyebabkan pengendali Three Lions, Thomas Tuchel mengecam penyokong England yang disifatkannya terlalu senyap.

“Kami bermain dengan sangat baik, mendahului 3-0 dengan cepat dan sepatutnya boleh menambah jaringan. Tapi apabila gol keempat tidak hadir, stadium terus sunyi.

“Tiada tenaga datang daripada penyokong, sedangkan pemain telah berikan segalanya di atas padang. Saya rasa mereka layak mendapat sokongan yang lebih kuat,” kata Tuchel kepada ITV.

Tuchel turut membandingkan suasana di Wembley dengan kehadiran 7,000 penyokong Wales yang terus bersorak tanpa henti walaupun pasukan mereka jauh ketinggalan.

“Selama hampir setengah jam, hanya kedengaran sorakan penyokong Wales. Ia agak menyedihkan kerana pasukan kami bermain dengan penuh semangat dan layak diraikan,” tegasnya.

Kemenangan itu merupakan yang keenam daripada tujuh perlawanan di bawah kendalian Tuchel sejak beliau mengambil alih tugas daripada Sir Gareth Southgate.

England kini di ambang melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 dan boleh mengesahkan tempat jika menewaskan Latvia pada aksi Kumpulan K, Rabu ini. - Sinar Harian




#Arsenal #Bukayo Saka #England #perlawanan persahabatan