SUKAN

Salah catat 250 gol untuk Liverpool dalam Premier League

Muhamad Syazwan 02/11/2025 | 00:30 MYT
Kini, hanya dua nama berada di hadapan Salah dalam carta sepanjang zaman Wayne Rooney (311) dan Alan Shearer (324). - Gambar Liverpool FC
MOHAMED Salah terus menulis sejarah gemilang bersama Liverpool selepas meledak gol ke-250 buat kelab itu dalam kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield, pada Sabtu.

Gol itu hadir hasil naluri penyudah tajamnya apabila beliau memanfaatkan kesilapan penjaga gol Villa, Emiliano Martinez, untuk menolak masuk bola ke gawang terbuka.

Ia mungkin kelihatan seperti jaringan mudah, namun maknanya jauh lebih besar, satu lagi batu tanda dalam legasi Salah sebagai antara penyerang paling prolifik yang pernah memakai jersi merah Liverpool.

Dengan jaringan tersebut, bintang Mesir itu kini menjadi hanya pemain ketiga dalam sejarah kelab yang berjaya mencapai angka 250 gol dalam semua pertandingan, menyertai dua legenda Ian Rush (346 gol) dan Roger Hunt (285 gol).

“Ia satu perasaan yang luar biasa untuk menjaringkan gol bagi kelab sebesar ini. Saya sangat berbangga dan bersyukur dengan pencapaian ini,” ujar Salah kepada TNT Sports selepas perlawanan.

Namun, pencapaian itu bukan sekadar sejarah buat Liverpool. Dalam konteks Premier League, ia turut menandakan satu lagi penanda aras luar biasa apabila Salah kini menyamai rekod Wayne Rooney bagi jumlah penglibatan gol terbanyak untuk satu kelab.

Dengan 188 gol dan 88 bantuan jaringan, Salah kini mengumpul 276 penglibatan gol dalam liga untuk Liverpool, menyamai rekod Rooney (183 gol, 93 bantuan) bersama Manchester United.

Secara keseluruhan, termasuk tempohnya bersama Chelsea, Salah kini merekodkan 279 penglibatan gol dalam Premier League (190 gol, 89 bantuan) angka yang meletakkannya sebaris dengan legenda England, Frank Lampard (279 – 177 gol, 102 bantuan).

Kini, hanya dua nama berada di hadapan Salah dalam carta sepanjang zaman Wayne Rooney (311) dan Alan Shearer (324) dua ikon yang menjadi penanda aras ketajaman dan konsistensi dalam sejarah bola sepak Inggeris.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.





#Mohamed Salah #MO SALAH #Liverpool #250 gol Salah