SPORTS
Salah curi perhatian, pakai jam tangan RM4.2 juta

Menurut ulasan mengenai jam berkenaan, ia menampilkan rekaan klasik berbentuk tonneau dari titanium gred 5 yang tahan karat, ringan dan sangat teguh. - Foto Liverpool FC
PENYERANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah mencuri perhatian ramai apabila dilihat mengenakan jam tangan mewah bernilai 725,000 pound (sekitar RM4.2 juta) ketika menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab itu pada Jumaat.
Bintang Mesir berusia 32 tahun itu merupakan antara penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool dengan rekod 243 gol dalam 394 perlawanan sejak menyertai kelab itu dari Roma pada tahun 2017.
Salah kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman The Reds dan telah merangkul lapan trofi utama bersama kelab itu.
Dia terus menjadi tonggak utama dalam skuad kendalian Arne Slot yang sedang memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.Sebelum ini, kontrak Salah dijadualkan tamat pada musim panas nanti, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai masa depannya.
Pemain itu juga sering memberikan jawapan samar-samar apabila ditanya mengenai kedudukannya.
Namun, segala teka-teki itu terjawab apabila Liverpool mengesahkan bahawa Salah telah menandatangani kontrak baharu sehingga tahun 2027.
Menariknya, sewaktu gambar-gambar majlis menandatangani kontrak itu tersebar di media sosial, peminat menyedari jam dipakai oleh Salah iaitu seutas jam tangan biru yang kelihatan sangat eksklusif.
Jam tangan tersebut keluaran jenama mewah dari Switzerland, Richard Mille. Model yang dipakai Salah dikenali sebagai Richard Mille RM 17-02 Tourbillon Titanium yang dijual di sebuah laman web pada harga mencecah AS$949,999 (kira-kira 725,000 pound).
Menurut ulasan mengenai jam berkenaan, ia menampilkan rekaan klasik berbentuk tonneau dari titanium gred 5 yang tahan karat, ringan dan sangat teguh.
Model ini mula diperkenalkan pada tahun 2022 dengan pelbagai versi eksklusif, termasuk kemasan seramik TZP dan emas merah 18 karat.
Jam tersebut juga pernah dilancarkan dalam edisi terhad putih dan biru, masing-masing hanya 30 unit di seluruh dunia.
Versi terbaru yang dipakai Salah ini pula hadir dalam rekaan titanium yang lebih sederhana tetapi tetap mengekalkan gaya mewah dan eksklusif Richard Mille. -- Agensi via Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami